Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Jabatan Metereologi Malaysia menafikan bahawa suhu minimum di negara ini akan turun ke 20 darjah Celsius sepanjang Februari seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan (bukan Harian Metro) hari ini.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, suhu bagi Malaysia yang beriklim tropika secara amnya antara 22 darjah Celsius pada sebelah pagi, manakala 35 darjah Celcius pada lewat petang.

Suhu minimum pada Januari lalu turut direkodkan lebih panas daripada biasa antara 1 hingga 2 darjah Celcius, malah suhu terendah pada bulan lalu juga lebih tinggi dari rekod suhu terendah jangka panjang bagi Januari.

Kenyataan itu turut menyebut yang peningkatan suhu ini adalah selari dengan jangkaan awal apabila kesan El Nino menyebabkan peningkatan suhu antara 0.5 hingga 2.0 darjah Celcius.

Menerusi laman web rasmi jabatan itu iaitu www.met.gov.my, orang ramai diingatkan untuk tidak mendapatkan maklumat di laman sosial Facebook (FB) lain, selain daripada laman rasmi mereka iaitu www.facebook.com/malaysiamet.

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa penduduk di sekitar Perak dan Kelantan akan merasai cuaca sejuk dan nyaman seperti musim bunga di London.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:31 PM