TETAMU kehormat menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang.
TETAMU kehormat menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Bagi 80 pelajar dari lapan sekolah sekitar Johor, peluang menyertai perkhemahan anjuran Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) cukup menyeronokkan.

Bukan sekadar perkhemahan biasa kerana mereka perlu meranduk air di Sungai Skudai menerusi Program Rakan Alam Sekitar (RAS) yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Kebangsaan (Zon Selatan).

Perkhemahan tiga hari sempena Program Hidrologi Antarabangsa Malaysia UNESCO (UNESCO-IHP Malaysia) itu diadakan serentak dengan Perayaan Minggu Alam Sekitar Johor, baru-baru ini.

Program pembelajaran itu diketuai Bahagian Bahan Kimia CCM untuk mendidik generasi muda mengenai kepentingan sumber asli terutama air yang menjadi sumber kehidupan masyarakat dan organisma hidup.

Ia juga bermatlamat meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap penjagaan alam sekitar.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kimia CCM Anuar Kasim berkata, program ini antara mekanisme terbaik mendekatkan pelajar dengan alam sekitar.

Menurutnya, golongan itu perlu didedahkan kepada persekitaran luar bagi membolehkan mereka memahami dan menghargai keindahan alam semula jadi.

“Menerusi eksplorasi seperti ini mereka akan menyedari pelbagai isu yang menjejaskan alam sekitar dan bagaimana boleh memainkan peranan untuk memulihara sumber ini.

“Menerusi RAS, kita bukan sahaja dapat menyuntik kesedaran terhadap isu ini tapi paling penting dapat mendidik generasi muda menyemaikan sikap bertanggungjawab selain membantu mencari penyelesaian,” katanya.

Memainkan peranan sebagai saintis, pelajar turut meranduk air untuk melakukan pelbagai eksperimen bagi mengukur kualiti air dan mencari cara menghasilkan enzim menerusi aktiviti Program Saintis Sungai CCM.

Mereka juga mempelajari ekologi dan proses sungai yang terbabit dalam rawatan atau penulenan air.

Aktiviti anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor itu juga memberi pendekatan holistik kepada pelajar melalui pengetahuan teori dan pengalaman bagi membolehkan mereka memulihara alam sekitar dan melindungi sumber semula jadi.

CCM turut mengambil kesempatan menjenamakan semula program itu kepada Rakan Saintis Sungai CCM serta melancarkan logo baru.

Dalam usaha meningkat dan menggalakkan aktiviti bertema alam sekitar di sekolah, CCM menyumbangkan RM1,000 kepada SMK Taman Daya 2 untuk membiayai aktiviti anjuran kelab alam sekitarnya.

Sejak dimulakan pada 2010, program itu disertai lebih 1,500 pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:30 AM