PESERTA RAS CCM tekun mempamerkan kreativiti masing-masing.
PESERTA RAS CCM tekun mempamerkan kreativiti masing-masing.

Kebanyakan orang dewasa menyimpan kenangan indah zaman kanak-kanak menyusur belukar, mandi sungai, bermain dan berkejar-kejaran dalam persekitaran semula jadi.

Kanak-kanak zaman sekarang kurang bernasib baik kerana pembelajaran mereka terbatas dalam bilik darjah dan pengalaman sedemikian hanya mampu ditonton menerusi televisyen, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar.

Namun bagi 100 kanak-kanak di Perlis, mimpi ini menjadi realiti. Kanak-kanak yang berumur antara enam hingga 17 tahun itu menimba pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah dan menghayati alam sekitar menerusi program Rakan Alam Sekitar (RAS) anjuran Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) di Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis.

Program pembelajaran unik itu yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada sambutan Minggu Alam Sekitar Perlis tahun ini, dianjurkan buat julung kali di Perlis sejak dimulakan pada 2010.

Diketuai oleh Bahagian Bahan Kimia CCM, program ini bertujuan menyemai kesedaran terhadap pentingnya sumber asli dalam kalangan pelajar sekolah terutama sungai dan tasik yang menjadi sumber kehidupan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulannya Leonard Ariff Abdul Shatar, kanak-kanak khususnya di kawasan bandar terpisah daripada persekitaran luar. Mereka lebih tertarik pada kecanggihan teknologi dan gagal menyedari atau memahami keindahan alam semula jadi serta isu yang menjejaskan alam sekitar.

“Kami berusaha mewujudkan kesan positif kepada masyarakat di tempat kami beroperasi dan antara caranya dengan memulihara dan melindungi alam sekitar. Menerusi program Rakan Alam Sekitar, kami bukan saja dapat menyemaikan kesedaran terhadap isu ini, tetapi paling penting, membantu usaha mencari penyelesaian lestari dengan mendidik generasi muda dan menggalakkan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” tambahnya.

Program bermula dengan pelepasan Envirowalk Rakan Saintis Sungai ke kawasan berhampiran Sungai Kampung Kurong Tengar. Sepanjang perjalanan, peserta muda dapat melihat dan mengenali pelbagai fauna dan flora yang tumbuh melata di kawasan itu.

Hari itu 40 remaja berumur antara 13 dan 17 tahun menjadi saintis apabila mereka meranduk air sungai untuk menjalankan pelbagai eksperimen bagi memantau kualiti air menerusi aktiviti Rakan Saintis Sungai CCM.

Menerusi aktiviti ini, mereka juga belajar menghasilkan enzim. Aktiviti yang dianjurkan bersama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis dan Taliworks Corporation Berhad itu memberi pendekatan menyeluruh kepada pelajar melalui pengetahuan teori dan juga pengalaman untuk membolehkan mereka mendidik pelajar sekolah mengenai pentingnya memulihara alam sekitar dan melindungi sumber alam semula jadi.

Seramai 60 rakan peserta yang lebih muda berusia enam hingga sembilan tahun pula menunjukkan bakat melukis dan cinta kepada alam sekitar dalam pertandingan mewarna yang diadakan di tepi sungai.

Dalam usaha untuk meningkat dan menggalakkan aktiviti bertema alam sekitar di peringkat sekolah, syarikat itu juga menyumbangkan sejumlah RM1,000 setiap sekolah kepada SMK Syed Saffi dan SMK Tengku Sulaiman untuk membiayai aktiviti yang dianjurkan kelab alam sekitar masing-masing.

Semasa acara ini, CCM juga mengambil kesempatan menjenamakan semula program itu kepada Rakan Saintis Sungai CCM dan melancarkan logo baru. Hadir sama, Exco Sumber Asli dan Alam Sekitar Perlis Datuk Mat Rawi Kassim, Pengarah Bahan Berbahaya Jabatan Alam Sekitar Norhazni Mat Sari, ADUN Kuala Perlis Mat Hassan dan ADUN Simpang Empat Tuan Nurulhisham Yaakob.

Menurut Leonard Ariff, pihaknya berbangga melihat inisiatif itu diperluaskan dan disertai ramai kanak-kanak. Walaupun masih kecil, mereka perlu dididik supaya bersama-sama menjaga alam sekitar supaya ia dapat menyemai sikap bertanggungjawab yang akan diteruskan hingga mereka dewasa.

RAS CCM membabitkan sekolah di seluruh Perlis, Sabah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Sejak dimulakan pada 2010, program ini sudah disertai lebih 1,500 pelajar dan akan diperluaskan lagi ke lebih banyak sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:01 AM