ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui di dalam semak.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui di dalam semak.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lelaki yang dilaporkan hilang empat hari lalu ditemui mati di Kampung Padang Kala, Peringat, kira-kira 4.30 petang tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Ketereh Mohd Rafain Mat Zain berkata, mangsa, Zainuddin Wahab, 37, ditemui di dalam semak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Katanya, lelaki itu yang juga pemandu lori ditemui bomba dan penduduk kampung yang berusaha mencari dan menyelamat.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Harian Metro hari ini, melaporkan lelaki itu dilaporkan hilang sejak Selasa lalu selepas menghantar anak lelakinya, Muhammad Hakimi, 2, ke rumah ibunya di Kampung Machang Bubuk, Melor.

Namun, mangsa tidak pulang ke rumahnya sebelum keluarga membuat laporan di Balai Polis Melor, Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 7:09 PM