JENAZAH Fatin Iqmal Idziyani tiba di KLIA. Turut sama mengiringi jenazah adalah Rapidah (kanan) dan ahli keluarga. FOTO Mohd Fadli Hamzah
JENAZAH Fatin Iqmal Idziyani tiba di KLIA. Turut sama mengiringi jenazah adalah Rapidah (kanan) dan ahli keluarga. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Tiga jenazah penuntut Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jordan, Sabtu lalu selamat tiba di Kompleks MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 4.25 petang tadi.

Jenazah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Hana Adzhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Shafie yang juga penuntut Universiti Mu'tah, Jordan tiba dengan pesawat Royal Jordanian.

Difahamkan, jenazah Fatin Iqmal dibawa keluar dari kompleks kargo pada 6.25 petang dengan van jenazah sebelum dibawa ke Masjid Al-Bukhari, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan.

Solat jenazah akan diimamkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut sama mengiringi jenazah adalah ibu kandung Fatin Iqmal, Rapidah Mat Rani dan bapa tirinya, Ahmad Sabri Mat Baharin serta beberapa pegawai MAIWP dan Wisma Putra.

Jenazah Fatin Iqmal kemudian akan dibawa ke kampung halamannya di Kampung Lubuk Kawah, Lenggong, Perak untuk dikebumikan.

Sementara itu, dua lagi jenazah diterbangkan terus ke Kelantan yang dijadualkan kira-kira jam 6.25 petang ini untuk proses pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 7:26 PM