Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk membentangkan keputusan Peguam Negara berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

SPRM dalam kenyataannya berkata, penilaian dan pertimbangan berhubung perkara itu akan dibuat oleh PPO dan sebuah lagi panel khas yang akan dilantik.

"PPO ialah badan bebas dibentuk kerajaan bagi memantau perjalanan suruhanjaya itu mengikut Akta SPRM 2009.

"Satu daripada terma rujukan PPO ialah memberi pendapat mengenai tindakan kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh pendakwa raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan ketiga-tiga kertas siasatan yang dikemukakan SPRM sebelum ini.

Beliau turut berpuas hati dengan keseluruhan fakta dan keterangan yang diberikan oleh agensi berkenaan.

Dalam pada itu, SPRM berkata, PPO dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Hamid Bugo serta dianggotai oleh Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Prof Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M Pathmanathan dan Lim Chee Wee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 4:03 PM