MOHD Zailan menunjukkan gambar suspek (gambar kecil) dipercayai terbabit dalam kes bunuh lelaki Bangladesh. FOTO Muhammad Sulaiman
MOHD Zailan menunjukkan gambar suspek (gambar kecil) dipercayai terbabit dalam kes bunuh lelaki Bangladesh. FOTO Muhammad Sulaiman
Siraj Mohd Zaini


Kuala Langat: Polis memburu lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun dikenali Edi bagi membantu siasatan kes bunuh lelaki Bangladesh di Kampung Lombong, Shah Alam, 25 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Zailan Tasir berkata, 12 individu yang juga rakan serumah dan kenalan suspek sudah ditahan sehingga kini.

Menurutnya, motif kejadian bunuh itu dipercayai mempunyai unsur cemburu kerana mangsa menjalin hubungan dengan wanita yang juga bekas isteri suspek.

"Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pendarahan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

"Hasil siasatan mendapati mangsa tidak bermusuh dengan sesiapa dan hanya menjalin hubungan dengan wanita yang juga bekas isteri Edi.

"Rakan mangsa menyatakan Edi sebelum kejadian pernah beberapa kali mengugut mangsa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zailan berkata, Edi dipercayai masih berada di kawasan Klang dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Anuar Hamin di talian 013-2918584.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 8:14 PM