MINUM air sekurang-kurangnya dua liter dari berbuka puasa hingga sahur dengan kerap.
MINUM air sekurang-kurangnya dua liter dari berbuka puasa hingga sahur dengan kerap.
MAKANAN tinggi serat dan karbohidrat kompleks  mengurangkan rasa lapar ibu menyusukan bayi.
MAKANAN tinggi serat dan karbohidrat kompleks mengurangkan rasa lapar ibu menyusukan bayi.
LAKUKAN aktiviti yang dapat  meningkatkan paras hormon oktosin ketika menyusukan bayi.
LAKUKAN aktiviti yang dapat meningkatkan paras hormon oktosin ketika menyusukan bayi.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Bagi wanita yang menyusukan anak, perkara paling dibimbangkan apabila tiba bulan puasa pastinya mengenai jumlah susu badan. Ramai yang risau jika berpuasa boleh mengurangkan penghasilan susu badan buat si kecil.

Bagi ibu yang pertama kali menyusukan anak, mungkin juga timbul persoalan bolehkah mereka memberi susu badan sepanjang berpuasa kerana bimbang mendatangkan mudarat pada diri sendiri dan bayi.

Menyusukan anak ketika berpuasa selamat kerana ibadat itu sebenarnya tidak menjejaskan penyusuan. Seorang ibu masih boleh berpuasa dan pada masa sama menyusukan anaknya selagi tubuhnya tidak mengalami masalah kekurangan air secara drastik (dehidrasi).

Malah, menyusukan anak sepanjang Ramadan juga tidak membahayakan bayi kerana tubuh ibu masih boleh menghasilkan susu walaupun berpuasa.

Ini kerana kuantiti dan nilai nutrisi susu tidak terjejas walaupun si ibu tidak makan apa-apa selama 24 jam. Penghasilan dan pengeluaran susu ibu bergantung kepada rangsangan dua hormon yang penting iaitu prolaktin (hormon perangsang penghasilan susu) dan oksitosin (hormon perangsang pengeluaran susu).

Apabila bayi menghisap payudara ibu, saraf pada puting dan areola akan menghantar rangsangan ke kelenjar pituitari dan prolaktin dirembeskan. Prolaktin bertindak di kelenjar susu dan merangsang penghasilan susu.

Penghisapan bayi juga merangsang rembesan hormon oksitosin daripada kalenjar pituitari dan merangsang refleks pancutan untuk mengeluarkan susu.

Refleks oksitosin ini boleh dirangsang dengan mudah oleh perasaan dan pemikiran ibu seperti rasa gembira, kasih sayang, tenang dan selesa.

Pengeluaran susu boleh terjejas jika pengeluaran oksitosin terganggu buat sementara dalam keadaan seperti ibu sakit akibat puting merekah, jahitan kelahiran caesarian atau episiotomi, perasaan bimbang tidak cukup susu, tertekan dan terlalu letih.

Oleh itu, penting untuk ibu menyediakan diri agar kekal bertenaga, tenang dan selesa untuk menghadapi bulan mulia ini agar dapat melakukan ibadat tanpa menjejaskan diri dan bayi.

Ketua Penolong Pengarah Pemakanan Pusat Laktasi Kebangsaan, Siti Mariam Ali memberikan beberapa panduan untuk ibu yang menyusukan bayi sepanjang berpuasa.

l Minum air secukupnya sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari (dua liter): Minum kerap sepanjang waktu berbuka hingga waktu bersahur.

Pengambilan air yang mencukupi dapat mengelakkan ibu daripada mengalami dehidrasi. Sekiranya berlaku gejala sedemikian, ibu harus berbuka puasa kerana dikhuatiri keadaan itu boleh membahayakan kesihatan diri dan anaknya.

Antara tanda ibu mengalami dehidrasi selepas memberi susu badan ialah terasa hendak pitam, lemah atau lesu, sakit kepala, loya dan ingin muntah, menggigil dan air kencing menjadi pekat serta berbau kuat.

Walaupun berpuasa tidak mengganggu penghasilan susu ibu namun dehidrasi, keletihan dan tekanan boleh menjejaskan penghasilan susu ibu.

l Pilih makanan yang tinggi serat dan karbohidrat kompleks ketika sahur seperti kurma, oat, bijirin, beras perang, roti, pasta, kekacang dan buah-buahan

Makanan jenis karbohidrat kompleks ini memerlukan masa lama untuk dicerna dan mengurangkan rasa lapar. Jadi, untuk ibu menyusukan bayi amat digalakkan untuk lambatkan waktu bersahur dan mengambil makanan jenis ini bagi memberikan mereka tenaga berpanjangan dan memudahkan ibadat puasa dilaksanakan.

l Kerapkan penyusuan terus atau penyusuan tandem sepanjang bersama anak. (Penyusuan tandem sesuai dilakukan sekiranya bayi masih kecil dan cukup hanya menyusu di sebelah payudara saja).

- Semasa menyusu terus pada payudara, pastikan posisi dan pelekapan adalah betul. Jika selepas menyusu, payudara masih penuh, ibu digalakkan memerah susu sehingga susu habis dikeluarkan (payudara menjadi lembut).

l Jika terpisah daripada bayi (ibu bekerja) perah susu dengan kerap iaitu antara enam hingga lapan kali sehari (setiap tiga jam), 20 hingga 30 minit setiap sesi di kedua-dua belah payudara. Jika menggunakan pam susu, ibu digalakkan untuk menggunakan pam elektrik berganda bagi meningkatkan penghasilan susu dan menjimatkan masa.

l Bagi ibu yang mengalami masalah kurang penghasilan susu, lakukan satu sesi pengepaman berkuasa pada waktu malam terutamanya jam 1 hingga 5 pagi kerana paras prolaktin lebih tinggi ketika itu, maka peluang ibu untuk mendapat susu yang lebih banyak adalah lebih tinggi. Caranya, satu sesi bersamaan pam 20 minit - rehat 10 minit - pam 10 minit - rehat 10 minit - pam 10 minit.

l Lakukan amalan yang boleh meningkatkan paras hormon oktosin ketika memerah susu seperti fikir, dengar, lihat video, gambar anak atau sebarang aktiviti yang boleh membuatkan ibu berasa tenang dan gembira.

l Amalkan doa dan zikir tertentu yang boleh mempermudahkan urusan ibu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 11:52 AM