WANITA boleh menyusukan bayi atau mengepam susu dalam suasana selesa.
WANITA boleh menyusukan bayi atau mengepam susu dalam suasana selesa.
PELBAGAI keperluan bayi dijual.
PELBAGAI keperluan bayi dijual.
Hajahfarhana Tarmudi


Nampak mudah, namun ia bukan senang. Malah, ada juga ibu yang mengeluh keletihan kerana perlu melakukan pelbagai tugasan dalam satu masa hingga menyebabkan mereka kurang tenaga untuk mengepam susu.

Akhirnya, jumlah susu dipam tidak sebanyak yang disangka sekali gus menyebabkan ibu mula berputus asa dan sedih kerana tidak mampu menyediakan keperluan susu yang mencukupi buat si kecil.

Bukan faktor tugasan yang berlebihan dan keletihan saja, malah ada kalanya aktiviti penyusuan atau pengepaman boleh terganggu ketika membeli-belah.

Ini kerana kehadiran ruang dan lokasi yang tidak selesa menyebabkan ada segelintir ibu yang berasa malu menyusukan bayi di tempat awam.

Jelas pemilik bersama Mamakiddies, Jerina Banu Abdul Barakath, berdasarkan pengalamannya sendiri, agak sukar untuk mendapat bilik penyusuan yang selesa dan kebanyakannya berhampiran dengan tandas atau di dalam bilik menukar lampin bayi.

“Justeru, apabila kaunselor laktasi, Siti Asma Moin memberikan idea menyediakan kafe dan kedai barangan bayi yang mesra penyusuan, kami bersetuju.

“Ini kerana kami sangat memahami kesukaran mereka dan mahu membantu dengan memberi kemudahan yang terbaik buat ibu menyusu ketika membeli-belah.

“Pastinya, ibu ini mencari lokasi sesuai menyusukan bayi atau mengepam susu kerana tidak selesa melakukannya di khalayak ramai,” katanya.

Menariknya, terdapat juga suis elektrik untuk memudahkan ibu yang mahu mengepam susu ketika berehat seketika di kafe Ice Cream Village itu.

Ruang yang selesa untuk membeli-belah dan pada masa sama melepaskan lelah serta kelaparan dengan menu ringkas itu juga satu idea menarik yang disiapkan bersama suaminya, Dr Noohul Basheer.

Kehadiran menu ringkas seperti spageti dan aiskrim Itali yang menyihatkan, antara hidangan digemari kebanyakan wanita yang disediakan di sini.

Pilihan menu yang mengandungi coklat dan vanila juga mempunyai manfaat tersendiri kerana ia membantu merangsang hormon kegembiraan kepada wanita, sekali gus menggalakkan pengeluaran susu yang banyak.

“Dalam masa terdekat, kami akan sediakan ruang yang lebih selesa seperti memasang tirai agar ibu menyusu berasa tidak malu untuk mengepam susu.

“Kami juga melekatkan panduan pengepaman susu dengan cara yang bersih dan selesa untuk memberi kesedaran kepada kebanyakan ibu yang menyusukan bayi mereka,” katanya.

Selain lokasi kedai yang mesra penyusuan, terdapat juga ruang kecil untuk kanak-kanak bermain sementara ibu bapa mereka membeli barangan keperluan bayi.

Pelbagai barangan keperluan bayi seperti kereta sorong bayi, pakaian, aksesori dan peralatan penyusuan mampu milik serta menepati kehendak kebanyakan ibu bapa.

Bagi meningkatkan kesedaran dan menambah ilmu dalam kalangan ibu menyusu, kafe berkenaan turut menyediakan kelas penyusuan hasil kerjasama bersama Siti Asma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 1:28 PM