Oleh Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Dua lelaki berusia 21 dan 25 tahun ditahan semalam selepas seorang pengarah filem berusia 29 tahun membuat laporan polis dia dikepung, kereta dipandu diketuk dan dikejar oleh dua penunggang motosikal di Lebuhraya Kesas, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisoner Sharul Othman Mansor berkata, tangkapan dilakukan hasil petunjuk daripada rakaman video dan gambar daripada telefon bimbit mangsa.

Katanya, hasil temubual yang dijalankan suspek mengaku berbuat demikian kerana marah dengan sikap lelaki itu yang didakwa memandu laju dan merbahaya sehingga hampir melanggar mereka.

"Anggota sedang mengesan motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Suspek ditahan dilokap Jinjang dan akan memohon direman esok,"katanya.

Menurut Sharul, kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 12:23 AM