Industri perfileman Bollywood hari ini mula diwarisi anak kepada aktor dan aktres veteran.

Legasi itu nampaknya akan terus mengalir kepada generasi yang lebih muda seperti anak Shah Rukh Khan iaitu Suhana.

Ketika remaja mereka dihantar menuntut ilmu di luar negara dan sebaik tamat belajar, bidang lakonan menjadi pilihan.

Ia bukanlah perkara pelik sebagai remaja yang dibesarkan di dunia yang penuh warna-warni di Bollywood, mereka amat terdedah dengan dunia glamor bermula pengaruh daripada dalam keluarga sendiri sehingga kepada lingkungan pergaulan terdiri daripada orang industri filem.

Antara mereka yang meneruskan legasi orang tua mereka menjadi pelakon ialah Saif Ali Khan, Soha Ali Khan, Karisma Kapoor, Kareena Kapoor, Kajol, Sonam Kapoor, Ranbir Kapoor, Tiger Shroff, Vivaan Shah, Shraddha Kapoor, Sonakshi Sinha, Abhishek Bachchan, Karan Deol dan Athiya Shetty.

Bahkan anak kepada produser dan pengarah filem juga ramai yang terjun ke dalam dunia perfileman seperti Hrithik Roshan, Uday Chopra dan Arjun Kapoor.

Itu belum lagi termasuk sepupu dan anak saudara kepada produser, aktor dan aktres terbabit. Boleh dikatakan kebanyakan aktor dan aktres itu ada 'hubungan' darah.

Memasuki era akan datang, pasti anak kepada pelakon Hrithik Roshan, pasangan Twinkle Khanna dan Akshay Kumar, Kajol dan Ajay Devgan, Karisma Kapoor, Sridevi, Madhuri Dixit, Saif Ali Khan, Aamir Khan, Abhishek dan Aishwarya Rai, Shilpa Shetty dan Arbaaz Khan yang kini sedang membesar pula akan menyusul menggantikan ibu dan bapa mereka.

Shah Rukh Khan sendiri amat berbangga apabila anak keduanya, Suhana dilihat berminat untuk mencuba nasib menjadi pelakon.

"Suhana sangat pemalu, tetapi dia seorang saja anak saya yang minat berlakon. Abangnya, Aryan masih menuntut di London manakala AbRam pula kecil lagi. Saya harap dia akan menjadi heroin filem Bollywood dan bukan setakat 'cameo' saja," katanya.

Shah Rukh yang sudah mencapai usia 49 tahun baru-baru ini seorang bapa yang sangat bertangggungjawab dan menyifatkan waktu bersama keluarga adalah cara terbaik untuknya menghilangkan tekanan.

Apabila ditanya hadiah istimewa daripada anak dan isterinya, jelas 'King Khan' itu, mereka tidak memberikannya apa-apa.

"Saya yang akan memberikan mereka segala-galanya kepada mereka dan itulah istimewanya hubungan kami," katanya.

Ketika majlis hari jadi diadakan di kediamannya, anaknya melayan tetamu mereka dengan baik.

"Saya bangga dikurniakan anak yang baik. Kehadiran mereka adalah hadiah terbaik buat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM