Kuala Lumpur: Cadangan mekanisme harga baharu bagi RON95 berasaskan kos pengeluaran sebenar kilang penapisan minyak Malaysia dalam denominasi ringgit tidak berdaya maju disebabkan keperluan bahan api di negara ini masih dipenuhi oleh import dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, rangka kerja penentuan harga semasa menerusi sistem apungan terurus berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM) menyaksikan penurunan harga runcit.

Beliau berkata demikian dalam artikelnya bertajuk ‘Mengapa harga runcit produk petroleum tidak turun sebanyak atau secepat harga minyak mentah?’ yang dikeluarkan di sini, semalam.

Katanya, dalam rangka kerja penentuan harga sedia ada, harga runcit RON95 turun tujuh kali manakala diesel turun lima kali berbanding antara Disember 2014 dan Januari 2016 sejak pelaksanaan berasaskan sistem apungan terurus APM.

“Berbanding harga RON95 bagi Disember 2014, harga runcit RON95 pada Januari 2016 turun 18 peratus, manakala harga runcit diesel turun 28 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya.

Mohamad Irwan berkata, pengurangan itu agak selari dengan kuantum pengurangan kos produk bertapis dan turut mengambil kira faktor kadar pertukaran.

Beliau berkata, harga runcit terkini seliter petrol RON95 ditetapkan pada RM1.85, RON97 RM2.25 dan RM1.60 diesel, adalah jauh lebih rendah berbanding harga runcit di beberapa negara lain di rantau ini.

Mengenai kaitan dengan minyak mentah, Mohamad Irwan berkata, harga produk petroleum di peringkat runcit tidak mempunyai kaitan langsung dengan harga minyak mentah.

Harga runcit mengikuti rapat harga produk bertapis yang mungkin berbeza-beza bagi setiap jenis produk berlainan. Sebagai contoh, dalam tempoh Januari 2015 hingga Disember 2015, kos produk bertapis untuk RON95 adalah lebih tinggi berbanding harga minyak mentah sebanyak AS$5 hingga AS$20 setong, manakala bagi diesel harganya antara AS$5 dan AS$15 setong.

Kos produk bertapis yang lazimnya digunakan di rantau ini merujuk kepada ‘harga purata kaedah Platt Singapura (MOP)’ dalam denominasi dolar AS. Dalam konteks Malaysia, harga runcit produk petroleum, iaitu petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) ditetapkan menerusi APM yang dilaksanakan sejak 2 April, 1983.

Mohamad Irwan berkata, harga minyak mentah di pasaran dunia jatuh dari harga puncak pada AS$110 setong pada Jun 2014 kepada AS$37 setong pada Disember 2015, terutama disebabkan oleh lebihan bekalan.

Harga turun hampir 66 peratus dalam tempoh kurang dari 18 bulan yang mencemaskan negara yang bergantung kepada hasil minyak. Pengeluaran minyak syal pada skala yang besar oleh Amerika Syarikat dikatakan turut menyumbang kepada aliran harga menurun minyak mentah.

“Walaupun terdapat penurunan ketara harga minyak mentah sehingga 66 peratus dalam tempoh 18 bulan lalu (Julai 2014-Disember 2015), ia tidak membabitkan produk bertapis,” katanya sambil menambah kos produk yang digunakan dalam pengiraan harga runcit berasaskan APM adalah kos produk minyak bertapis dan bukannya harga minyak mentah.

Kos produk bertapis bagi RON95 hanya susut 22 peratus, daripada AS$73 setong pada Disember 2014 kepada AS$57 setong pada Disember 2015. Kadar yang lebih perlahan dalam penurunan harga runcit juga diburukkan oleh penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:26 AM