GAMBAR menunjukkan Jong Un (dua dari kanan) memeriksa model bom hidrogen yang didakwa boleh dibawa peluru berpandu rentas benua. - AFP
GAMBAR menunjukkan Jong Un (dua dari kanan) memeriksa model bom hidrogen yang didakwa boleh dibawa peluru berpandu rentas benua. - AFP
AFP

Seoul: Korea Utara semalam mengumumkan kejayaan sempurna ujian bom hidrogen yang boleh dibawa oleh peluru berpandu rentas benua.

Ujian bom nuklear keenam dan letupan paling besar itu dikecam dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dianggap bahaya kepada AS.

Rakyat Korea Utara bersorak kegembiraan apabila stesen televisyen negara itu mengumumkan kejayaan ujian berkenaan.

Bagaimanapun, ujian berkenaan disambut dengan penuh kemarahan oleh dunia.

China menyelar sekutu rapatnya itu dan memulakan pemantauan kecemasan radiasi di sempadannya dengan Korea Utara.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menggambarkan ujian itu sebagai sangat tidak boleh diterima manakala Russia turut mengutuk tindakan Pyongyang tetapi menggesa semua pihak bertenang.

Trump dalam satu kenyataan di Twitter, menganggap kata-kata dan tindakan Pyongyang terus bermusuhan dan berbahaya kepada AS.

“Korea Utara menjadi ancaman yang besar dan memalukan China yang cuba membantu tetapi tidak banyak kejayaan dicapai,” katanya.

Beberapa jam sebelum ujian, Korea Utara menyiarkan imej pemimpinnya, Kim Jong Un memeriksa model peledak bom hidrogen yang boleh dibawa peluru berpandu rentas benua.

Kajian Geologi AS mengesan gegaran berukuran 6.3 magnitud berhampiran kawasan ujian nuklear Korea Utara.

Pakar Korea Selatan berkata, ia lima hingga enam kali lebih kuat berbanding ujian nuklear Pyongyang pada tahun lalu.

Gegaran turut dirasai hingga ke Vladivostok di Russia dan wilayah timur Laut China yang menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 9:58 AM