Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Seramai 240 pendatang asing tanpa izin berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun dikenakan hukuman penjara tujuh bulan selepas didapati bersalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Hakim Mahkamah Sesyen PATI Depot Imigresen Pekan Nenas Pontian Salawati Djambari memerintahkan hukuman dijalankan dari tarikh tangkapan 13 Disember lalu.

Mengikut kertas pertuduhan mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah kawasan di Jalan Persiaran Mega berhadapan persimpangan Taman Perindustrian Nusa Cemerlang Gelang Patah kira kira 1 pagi.

Semua tertuduh yang berasal dari Bangladesh (194), Indonesia (21), Myanmar (16), Vietnam (5), Pakistan, India (1) dan Nepal (1) didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Kes dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Johor Norhashimah Othman manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 2:28 PM