GAMBAR lama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah sempena Istiadat Menandatangani Perjanjian Perisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan.
GAMBAR lama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah sempena Istiadat Menandatangani Perjanjian Perisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan.
PENGUNJUNG pasti teruja melihat pameran yang mengimbau kegemilangan Istana Negara.
PENGUNJUNG pasti teruja melihat pameran yang mengimbau kegemilangan Istana Negara.
SINGGAHSANA yang mempunya sejarah tersendiri.
SINGGAHSANA yang mempunya sejarah tersendiri.
Oleh Suliati Asri


Melihat kemegahannya dari luar pintu pagar tinggi, Istana Negara Lama yang kini dikenali sebagai Muzium Diraja menjadi khazanah negara yang cukup bermakna.

Menjadi kediaman rasmi 13 Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara selama 54 tahun, istana ini sudah melalui pelbagai perubahan termasuk fungsi dan peranannya.

Sepanjang tempoh dari tahun 1957 hingga 2011, banyak peristiwa berlaku di istana itu.

Berikutan itu, mereka yang mahu mengenali lebih dekat dan mengimbau kegemilangan Istana Negara Lama di Jalan Istana, Kuala Lumpur, boleh menyaksikan Pameran Istana Negara: 54 Tahun Masyhur Berdaulat yang berlangsung sehingga 31 Januari depan.

Selain mengimbau kegemilangan istana berkenaan, pameran bergambar yang diadakan julung kali ini juga boleh memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai kepentingan Istana Negara sebagai pusat pentadbiran Institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Pengunjung juga berpeluang melihat dan mengenali fungsi ruang dalam Istana Negara serta merasai sendiri suasana berada di dalamnya.

Ini secara tidak langsung dapat menyemai rasa hormat dan kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Melangkah ke kawasan istana menerusi pintu masuk utama, usai membayar tiket RM5 bagi dewasa dan kanak-kanak RM2, padang yang luas di sebelah kanan dan suasana redup di kiri mencetuskan suasana damai.

Memasuki Galeri Istana yang dulunya tempat kediaman Yang di-Pertuan Agong, melihat replika Istana Lama yang diletakkan di dalam kaca sudah cukup mengujakan kerana ia gambaran sebenar istana itu.

Di belakang dan sekelilingnya pula terpampang gambar 13 Yang di-Pertuan Agong yang pernah bersemayan dan beberapa gambar eksklusif termasuk foto kediaman itu sebelum dijadikan Istana Negara.

Selesai melihat gambar yang mengimbau pelbagai kenangan itu, kunjungan ke sekelilingi bangunan dua tingkat ini pasti mengujakan.

Ruang tamu yang luas, ruang tidur, ruang bersantap, bilik mesyuarat serta bilik bacaan di Galeri Istana masih dikekalkan.

Terbayang suasana sebenar di dalam istana ini saat ia masih didiami.

Selesai meluangkan masa di Galeri Istana, pameran di Balairung Seri yang menjadi tempat Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap pembesar dari dalam dan luar negara mencerminkan kemegahan kesultanan Melayu.

Memasuki Balairung Seri, kuning yang menjadi lambang kesultanan Melayu menjadikan kawasan itu ruang yang mempunyai darjat tersendiri.

Di sini, pengunjung dapat melihat suasana sebenar di Balairung Seri yang awalnya di lokasi yang kini menjadi padang.

Pengubahsuaian Balairung Seri yang menjadi lambang kemegahan Institusi Raja Berperlembagaan dan rakyat Malaysia dijalankan secara menyeluruh bagi membolehkan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketujuh dilangsungkan buat kali pertama di Istana Negara pada 1980.

Selain pertabalan, suasana istiadat rasmi termasuk Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan oleh menteri dapat dirasai di dalam balai ini dengan susun atur kerusinya dikekalkan seperti dulu.

Fungsi lain Balairung Seri ialah sebagai Dewan Santapan Rasmi, majlis pelancaran dan keagamaan juga dapat dilihat melalui gambar yang dipaparkan.

Susun atur di Bilik Majlis Raja-Raja Ke-225 yang menjadi mesyuarat terakhir di Istana Negara Lama pada tahun 2011 juga diperlihatkan.

Pendek kata, apa yang dipaparkan menerusi Pameran Istana Negara: 54 Tahun Masyhur Berdaulat memberi peluang kepada pengunjung merasai suasana dan keadaan istana yang menjadi saksi banyak peristiwa bersejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 11:49 AM