Shiha beri tentangan sengit kepada dua finalis Indonesia.
Shiha beri tentangan sengit kepada dua finalis Indonesia.
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Menduduki tempat ketiga di pentas akhir pertandingan dangdut dan irama nusantara D’Academy Asia di Jakarta, Indonesia, malam tadi adalah pencapaian memuaskan buat penyanyi Shiha Zikir, 28.

Shiha yang naib juara program Mentor musim kelima berkata, pencapaian itu sudah dijangkakan dari awal persaingan memandangkan dua lagi finalis dari Indonesia, Danang dan Lesti cukup berpengalaman dalam genre dangdut.

“Saya bersyukur dengan keputusan itu. Layak ke pertandingan akhir bersama mereka berdua sudah cukup membanggakan.

“Walaupun saya mengalami sakit tekak dan tidak dapat membuat persembahan yang terbaik, saya sudah mencuba dan berbangga dengannya,” katanya.

Pada pertandingan akhir itu, Shiha memperoleh 745 markah daripada dua tugasan persembahan untuk berada di tangga ketiga di belakang Lesti (772) dan juara, Danang (774).

Danang muncul juara dalam pertandingan yang disaksikan 26 juta penonton dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei itu.

Shiha yang menyampaikan dua lagu iaitu Layar Batuta dan Tersisih menerima wang tunai 50 juta Rupiah (RM15,000) dan sebuah lagu baru yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 9:15 PM