IHSAN Bomba dan Penyelamat
IHSAN Bomba dan Penyelamat
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Puchong: Seorang lelaki 56 tahun cedera selepas terjatuh ketika mengait rambutan di belakang rumahnya di Taman Bukit Kuchai, Puchong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.15 pagi itu, mangsa, D Rajaindran, 56, dikatakan terjatuh apabila cuba turun dari pokok setinggi tiga meter apabila selesai mengait rambutan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.36 pagi.

Katanya, lima anggota serta pegawai bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

"Mangsa cedera di muka dan patah tangan akibat terjatuh daripada pokok. Dia kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 8:19 PM