ANGGOTA bomba mengawal keadaan di sebuah kilang selepas berlaku tindak balas bahan kimia organik Peroxide.
ANGGOTA bomba mengawal keadaan di sebuah kilang selepas berlaku tindak balas bahan kimia organik Peroxide.
Mohd Hasbi Sidek

Puchong: Kesilapan pekerja melakukan campuran bahan kimia menyebabkan berlaku tindak balas sehingga menghasilkan kepulan asap tebal di sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong, berhampiran Lebuhraya Damansara-Puhong (LDP), dekat sini, kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke lokasi untuk mengawal keadaan di premis berkenaan.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, tindak balas bahan kimia organik Peroxide yang disimpan di dalam tong besi menghasilkan kepulan asap tebal namun tidak menyebabkan kebakaran.

Ketua Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor, Mohd Nurizawan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.27 petang.

“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dengan kekuatan sebuah jentera bergegas ke lokasi dan mengawal keadaan dengan melakukan proses penyejukan menggunakan air.

“Pasukan juga melakukan pengosongan bangunan dan memastikan tiada bahan yang tidak selamat di dalam premis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terkesan dengan kejadian itu selain tidak menjejaskan struktur bangunan.

“Daripada maklumat diterima, pekerja tersalah melakukan campuran bahan kimia yang menyebabkan asap terhasil sebelum melaporkan kejadian kepada bomba.

“Asap akibat tindak balas itu boleh menyebabkan kerosakan kepada kulit manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 4:54 AM