PERSEMBAHAN ringkas Ramli dan Nasir pada sidang media Ramli Nasir Uni Tour 2016, baru-baru ini.
PERSEMBAHAN ringkas Ramli dan Nasir pada sidang media Ramli Nasir Uni Tour 2016, baru-baru ini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Dua insan kreatif ini dikenali sebagai penghibur hebat dan dilabel legenda dalam industri muzik Malaysia dan Singapura.

Namun itu bukan menjadi penyebab untuk mereka bermegah atau bersaing.

Sebaliknya hubungan mereka menjadikan Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir saling mengagumi antara satu sama lain.

Malah, persahabatan mereka bermula sejak zaman remaja di Singapura.

Ketika itu, di Singapura Ramli tinggal di Bukit Cantik manakala Nasir di Jalan Teck Whye, tidak jauh dari kediaman Ramli.

Nasir mengakui populariti Ramli amat memuncak dan ikon rocker ini adalah idolanya ketika dia di bangku sekolah.

“Ramli dan kumpulannya Sweet Charity sangat popular ketika itu. Kalau orang tengok Sweet Charity, mereka akan nampak kehebatan Ramli sebagai penyanyi.

“Saya sering menonton persembahan Sweet Charity setiap kali mereka beraksi di mana-mana. Paling gah mereka pernah diundang mengadakan persembahan di Panggung Negara Singapura dan mendapat sambutan hebat peminat,” katanya.

Beralih ke alam dewasa, Nasir semakin rapat dengan Ramli dan gembira kerana dapat menggantikan tempat idolanya dalam sebuah persembahan di sebuah kelab di Singapura pada 1974.

“Ketika itu Ramli patah kaki dan saya menggantikan tempatnya. Itu sudah cukup menggambarkan keakraban hubungan kami.

“Satu perkara yang saya suka mengenai Ramli dan Sweet Charity ialah mereka begitu hebat dalam menghiburkan penonton. Persembahan mereka di majlis kenduri kahwin ibarat sebuah konsert!” katanya.

Ramli pula mengakui Nasir seorang penyanyi dan komposer hebat.

Selain itu,dia juga mengenali penyanyi itu sebagai individu pendiam.

“Apa yang dikatakan oleh Nasir itu betul. Sweet Charity memang popular dan jika tuan rumah majlis kenduri jemput kami, bermakna mereka orang kaya.

“Nasir banyak kutip pengalaman dengan menyaksikan persembahan kami. Bagaimanapun, Nasir seorang yang bijak kerana tahu dia tak dapat menandingi Sweet Charity dan tampil dengan konsep muzik berbeza.

“Hubungan kami sebenarnya bersandarkan pada hati. Walaupun orang pernah kata kami bersaing, saya tahu bagaimana hatinya,” katanya.

Tampil hiburkan pelajar

Meskipun rapat, Ramli dan Nasir hanya pernah berkongsi pentas pada konsert di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982.

Ketika itu, Kembara menjadi artis pembuka untuk konsert Sweet Charity.

Selepas 30 tahun, kedua-duanya akan bergabung semula menjayakan Ramli Nasir Uni Tour 2016 di tujuh universiti di seluruh negara bermula 13 Februari hingga 9 April 2016.

Menerusi konsert ini, mereka akan berkongsi pengalaman seni bersama mahasiswa menerusi Wacana Seni Muzik yang diadakan sebelum konsert berlangsung.

“Bukan saja menghibur, kami juga ingin berkongsi pengalaman, motivasi serta mengajak mahasiswa menjadi kreatif dalam apa juga bidang yang mereka ceburi,” kata Nasir.

Ramli pula mahu memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan realiti industri muzik berdasarkan pengalaman sebenar dan bukan hanya belajar di atas kertas.

“Wacana Seni Muzik akan berlangsung pada sebelah pagi manakala konsert pada sebelah malam dan tajuk yang bakal dibincangkan akan diberi oleh pihak universiti,” jelasnya.

Ramli Nasir Uni Tour 2016 akan menjelajah tujuh universiti iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah; Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur; Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Alor Gajah, Melaka; Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah; Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kedua-dua mereka terlebih dahulu akan menghiburkan peminat menerusi konsert Ramli & Nasir: Brotherhood in Music di Esplanade Singapura pada 1 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 9:28 AM