KOLEKSI poster kumpulan muzik antarabangsa.
KOLEKSI poster kumpulan muzik antarabangsa.
SEBAHAGIAN koleksi tamburin dalam simpanan beliau.
SEBAHAGIAN koleksi tamburin dalam simpanan beliau.
ANTARA poster kumpulan muzik antarabangsa.
ANTARA poster kumpulan muzik antarabangsa.
Amirul Haswendy Ashari


Setiap orang ada minat berbeza. Bagi penyanyi rock legenda popular, Datuk Ramli Sarip, 64, membaca dan mengumpul poster penyanyi popular luar negara adalah minatnya.

Penyanyi cukup sinonim dengan lagu Kamelia itu akui suka membaca buku mengenai kehidupan dan agama.

Katanya, sesekali dia juga membaca majalah berkaitan muzik untuk mengetahui informasi terbaru dunia muzik dunia.

Berkunjung ke kediaman Papa Rock itu baru-baru ini, Selebriti Metro Ahad bertuah kerana Ramli sudi berkongsi minatnya itu.

Walaupun keluarga menetap di Singapura, apabila di sini Ramli tinggal di rumah teres di Kuala Lumpur.

Berkongsi minatnya itu, Ramli berkata, buku dihasilkan penulis luar disifatkannya lebih ekstrim di segi bahasa dan penulisan tetapi intipatinya sama seperti perjuangan muzik dulu dan sekarang.

Katanya, hal itu turut memberi kesan kepadanya dan melihat ia sebagai salah satu ibadat dalam mencari ilmu.

“Kalau buku agama, saya suka baca buku berkaitan tasawuf, sejarah sufi dan sirah nabi. Setiap penulis mempunyai cara sendiri dalam bercerita. Ada cerita yang tidak pernah didengari sebelum ini.

“Banyak rahsia belakang tabir yang kadang kala tidak pernah disampaikan secara lisan dan saya perlu mencarinya sendiri,” katanya.

Ramli juga sering membeli buku untuk anaknya yang turut berkongsi minat sama. Baginya tiada masalah untuk mendapatkan buku-buku dan sering mencuri peluang singgah ke beberapa kedai buku jika melakukan kunjungan ke luar negara.

“Selalunya kalau ke Indonesia, saya akan ke dua tiga ‘toko buku’. Buku-buku dijual di sana terlalu banyak dan agak jarang dijumpai.

“Tapi selalunya saya ikut ‘mood’, adakala saya borong 10 buku sekali gus tetapi ada juga kurang dari itu. Semua buku-buku yang sudah dibaca saya simpan dalam beberapa kotak khas,” katanya.

Ramli tidak nafikan ada juga buku yang dianggap tiada perbezaan dengan buku-buku lain tetapi wujudnya beberapa baris ayat ‘magis’ menjadikan buku itu unik.

Penyanyi yang mula dikenali bersama Sweet Charity, amat menyanjungi beberapa pemuzik hebat luar negara seperti Led Zeppelin, The Beatles, Santana dan Pink Floyd.

Beberapa siri poster pemuzik-pemuzik itu disimpan rapi di satu sudut khas di kediamannya di sini. Antara yang paling berharga ialah poster album Led Zeppelin: IV at 40 asli yang dicetak 50 keping sahaja seluruh dunia.

Poster bersaiz 45 X 60cm itu dicetak menggunakan dakwat emas dan perak metalik di atas kertas hitam jenis ‘Matte Black French Cover’.

“Sejarah poster, asalnya apabila Zed Zeppelin mahu menghasilkan album ke-4, mereka mengadakan pertandingan mencipta reka poster terbuka. Rekaan ini antara yang berjaya disenarai pendek.

“Malangnya ia tidak menjadi muka album dan menjadi simpanan eksklusif mereka sahaja,” katanya.

Ramli mendedahkan mempunyai banyak lagi poster asli terutama berkaitan Carlos Santana tetapi disebabkan sering berpindah randah, kebanyakan poster itu hilang.

Katanya, ada antara poster dibeli melalui pesanan dari Amerika Syarikat sejak 70-an lagi. Beliau melihat minat itu sebagai satu cara aprisiasi perjuangan pemuzik tanpa mengambil kira tahap populariti mereka. Sebaliknya menghargai tahap kekentalan mereka bertahan lama di dalam industri.

“Saya tidak lihat mereka untuk diagungkan tetapi melihat perjuangan mereka meninggalkan kesan sehingga menjadi satu empayar besar.

“Bagi saya setiap poster juga memiliki seni, karakter dan tema tersendiri yang berkait rapat dengan imej setiap pemuzik,” katanya.

Selain itu, Ramli juga gemar mengumpul baju-T eksklusif dan tamborin yang direka khas sempena konsert yang dijayakan sebelum ini.

Jualan tiket konsert memberangsangkan

Tinggal beberapa hari sahaja lagi Konsert Gala Pelarian akan menemui peminat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Setakat semalam (Sabtu), difahamkan lebih 60 peratus tiket konsert sudah berjaya dijual.

Konsert berlangsung selama dua jam setengah pada 25 Ogos itu menampilkan Datuk Ramli Sarip, Ella, Kumpulan Raihan, Pekin Ibrahim, Haziq Rosebi dan Zahid.

Kata Ramli, semua teruja dan memang menantikan saat ini. Baginya, setiap konsert ada roh dan momen tersendiri.

“Pada konsert ini, bukan saja lagu-lagu lama malah beberapa lagu yang belum pernah disampaikan akan turut dinyanyikan.

“Susunan lagu juga akan dipersembahkan dengan lebih unik dan mampu menghiburkan semua penonton pada malam itu,” katanya.

Ramli menyifatkan persembahan malam itu lebih berorientasi dewasa tetapi tetap mengekalkan nilai kehidupan.

Selama lebih dua jam persembahan, beliau dan rakan artis akan menyampaikan lebih 20 lagu tetapi berpotensi berlakunya pengubahsuaian mengikut keadaan.

Biarpun berdepan dengan isu penarikan tajaan utama, Ramli tidak mahu menoleh ke belakang kerana tidak mahu menjatuhkan semangat pembeli tiket dan artis yang akan membuat persembahan.

“Memang saya rugi sikit sebab terpaksa keluarkan duit sendiri tetapi ia wajar sebab dapat beri manfaat. Saya anggap perkara yang berlaku adalah ketentuan Tuhan,” katanya optimis.

Konsert Pelarian anjuran Rasamusic Sdn Bhd pada 26 Ogos terpaksa dibatalkan kerana kos penganjuran yang sangat tinggi. Namun penganjuran diteruskan dengan Konsert Gala Pelarian yang berlangsung pada 25 Ogos di lokasi sama.

Sambutan hebat terhadap konsert membuatkan penganjur menambah bilangan 10 meja lagi berbanding asalnya 80 meja bagi memastikan peminat dapat hadir menyaksikannya.

Sebanyak lima kategori meja dari harga RM15,000 (semeja) hingga RM2,000 (semeja) dijual sempena majlis itu.

Segala urusan promosi konsert dijayakan oleh Mewah Event Management.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 2:37 AM