KEBANYAKAN PMKS masih belum bersedia selain belum mendapat gambaran yang jelas berkenaan sistem e-Invois.
KEBANYAKAN PMKS masih belum bersedia selain belum mendapat gambaran yang jelas berkenaan sistem e-Invois.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Mulai 1 Ogos ini, kerajaan akan melaksanakan penggunaan sistem invois elektronik atau e-Invois secara berperingkat, selaras dengan agenda pendigitalan negara.

Pelaksanaan fasa pertama sistem ini akan membabitkan pembayar cukai dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Fasa kedua pula akan bermula pada Januari 2025 yang membabitkan syarikat dengan perolehan tahunan sebanyak RM25 juta hingga RM100 juta.

Manakala semua peniaga termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan diwajibkan untuk mengeluarkan e-Invois, mulai 1 Januari 2025.

Bagaimanapun, PMKS yang berniaga atau membekalkan barangan kepada syarikat-syarikat besar perlu melaksanakan e-Invois mulai 1 Ogos. Kesediaan PMKS dalam keadaan ini menjadi persoalan sama ada mereka mampu melaksanakan atau sebaliknya.

E-Invois dilaksanakan bertujuan meningkatkan sistem percukaian negara, menggalakkan ketelusan dan kebolehkesanan semua transaksi, termasuk sektor penghantaran makanan dan e-dagang yang sedang berkembang.

Sistem ini juga tidak hanya memudahkan pelaporan cukai dan pematuhan tetapi membolehkan peniaga memenuhi kewajipan membayar cukai tepat pada masanya.

Pelaksanaan e-Invois ini juga adalah proses menghantar dan menerima invois dalam format digital. Sistem ini juga menjadikan pemprosesan cukai yang lebih pantas, pengurangan kertas kerja dan meningkatkan ketepatan dalam transaksi kewangan.

Selain itu, dengan mengadaptasi e-Invois ia memberi manfaat yang signifikan kepada PMKS terutama dalam penyelesaian perekodan transaksi penjualan perniagaan dan penyimpanan dokumen lebih teratur.

Walaupun menyedari manfaat pelaksanaan e-invois ini, ia turut memberikan cabaran besar kepada peniaga termasuk di platform penghantaran makanan dan e-dagang, khususnya PMKS.

Malah kebanyakan PMKS masih belum bersedia selain belum mendapat gambaran yang jelas berkenaan sistem e-Invois ini.

Bukan itu saja, keperluan PMKS membelanjakan kira-kira RM200,000 untuk menyediakan sistem berkenaan selain RM50,000 setahun untuk menyokong sistem berkenaan seperti yang dimaklumkan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) juga menjadi kekangan buat mereka.

Bagi peniaga barangan runcit, 33, dia sedia maklum mengenai e-Invois yang akan dilaksanakan oleh LHDN.

Namun katanya, dia tidak mampu melabur dalam jumlah yang banyak semata-mata untuk melaksanakan sistem berkenaan walaupun memperoleh jualan lebih RM200,000 sebulan.

"Margin penjualan e-dagang adalah rendah dan kos untuk membangunkan sistem itu terlalu besar. Oleh itu, saya tidak akan melabur untuk sistem terbabit," katanya yang sudah lima tahun menjalankan perniagaan.

Sejujurnya, tiada masalah dengan pelaksanaan sistem e-Invois ini, tetapi menurutnya LHDN perlu sediakan semuanya kepada PMKS.

"Semasa era GST dulu, kami hanya perlukan nombor SSM sahaja.

"Jadi, dengan pelaksanaan e-Invois ini, bagi saya LHDN harus menyediakan semua maklumat khusus yang diperlukan," katanya.

Peniaga barangan rumah, 39, mengakui tahu mengenai sistem e-Invois dan menyifatkan sistem itu dapat membantu Malaysia membina sistem cukai lebih baik.

Bagaimanapun, katanya dia tidak bersedia kerana pelaksanaan sistem ini memerlukan pelaburan yang besar.

"Walaupun sudah enam tahun menjalankan perniagaan namun kami masih terlalu baharu dan pendapatan syarikat juga masih rendah.

"Saya sedar e-Invois ini dianggap sebagai langkah penting untuk ekonomi negara, tetapi saya berharap ia mampu membantu mengembangkan ekonomi ke tahap lebih baik," katanya.

Peniaga barangan elektronik, 34, berkata walaupun syarikatnya menjalankan perniagaan secara digital sepenuhnya namun pihaknya tidak selesa dengan pelaksanaan e-Invois yang memerlukan mereka memberikan maklumat lengkap kepada LHDN.

Katanya, ini kerana banyak kertas kerja dan tenaga kerja diperlukan hanya untuk urusan sistem itu sahaja.

"Bagi saya, sistem ini tidak perlu dilaksanakan lagi dan jika perlu, pelaksanaannya haruslah secara berperingkat.

"Selain itu, kerajaan juga perlu memberi bantuan yang sewajarnya seperti subsidi untuk latihan dan menaik taraf perniagaan supaya kami dapat menguruskan aliran tunai dengan lebih baik," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan PMKS dengan perolehan jualan di bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois.

"Walaupun tidak tergolong dalam kategori itu namun masih ramai peniaga yang mempunyai jualan lebih tinggi daripada jumlah berkenaan belum bersedia termasuk saya," katanya yang memperoleh hasil jualan mencecah RM1 juta sebulan.

Bagi peniaga satey, pihaknya masih belum bersedia melaksanakan e-Invois kerana kekangan kewangan yang dihadapi perniagaannya.

"Untuk pelaksanaan e-Invois ini, ia memerlukan jumlah pelaburan yang besar dan dalam keadaan sekarang, kami tidak mampu," katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran berkata, dengan perniagaan yang kini berdepan masalah kewangan, buat masa ini mereka masih belum bersedia melaksanakan e-Invois ini.

"Bagaimanapun, saya berharap jika kerajaan masih perlu melaksanakan sistem ini, ia dilakukan dengan langkah yang lebih mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 7:00 AM