Nyamuk Aedes
Nyamuk Aedes
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan merekodkan 1,188 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh Januari sehingga Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, satu kematian membabitkan mangsa lelaki berusia 30 tahun di Gua Musang, April lalu.

Katanya, jumlah kes tahun ini meningkat sebanyak 7.2 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu 1,108 kes.

"Dalam tempoh sama sehingga Sabtu lalu, 270,246 premis diperiksa tempat pembiakan (nyamuk) Aedes dan 1,000 kompaun dikeluarkan membabitkan nilai RM 500,000 kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan (nyamuk) Aedes di dalam premis mereka.

"Kompaun dibuat mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154]," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Jabatan Kesihatan Negeri sudah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

"Antara aktiviti kawalan vektor yang dijalankan ialah pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.

"Bagi membendung penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di Kelantan, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab.

"Antara aktiviti yang perlu dilakukan adalah setiap isi rumah perlu memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar kediaman dan premis masing-masin serta menutup rapat bekas takungan air kekal.

"Selain itu, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit sendi, sakit kepala, ruam dan sebagainya, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko wabak denggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 8:31 AM