LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang sejak 11 Julai lalu sudah pulang ke rumah keluarganya di Ampang Tinggi, Tanjung Ipoh, di sini, tengah malam tadi dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani berkata, sepanjang kehilangannya itu, Muhammad Adi Putra Yusri, 17, dilaporkan berada di rumah rakannya.

"Kira-kira jam 10.30 malam 11 Julai lalu, remaja lelaki berkenaan dikatakan keluar dari rumah dan tidak balik. Laporan polis oleh pihak keluarga dibuat pada 15 Julai di Balai Polis Melang.

"Remaja itu balik ke rumah dalam keadaan selamat dan sihat kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sepanjang tempoh remaja itu hilang dia tinggal di rumah rakan di Kampung Merual Seri Menanti.

"Dia berada dalam keadaan selamat, sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan. Dia selamat pulang ke rumah keluarga," katanya.

Media semalam melaporkan, polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak Khamis minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 4:10 PM