AHMAD Maslan (kanan) mendengar taklimat di Pejabat Jurutera Jajahan Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
AHMAD Maslan (kanan) mendengar taklimat di Pejabat Jurutera Jajahan Gua Musang. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menelan kos sebanyak RM 1.59 bilion merangkumi lima projek di daerah ini dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kesemua projek berkenaan kini sedang dalam pembinaan.

"Projek terbabit antaranya Seksyen 3D: Bulatan Gua Musang ke Mentara, Seksyen 3B dan 3C: KM 180.5 FT08 ke Bulatan Gua Musang, Seksyen 2C: Bukit Sejuk ke Bandar Baru Gua Musang, Seksyen 2B: Paloh 2 ke Bukit Sejuk dan Seksyen 2A: Jambatan Sungai Lakit ke Paloh 2.

"Mengikut perkembangan projek, terdapat projek yang lewat, mengikut jadual, ada yang mendahului jadual dan kami komited akan siap dalam jangka masa ditetapkan," katanya ketika hadir di Pejabat JKR, di sini, hari ini.

Katanya, projek terbabit akan memberi manfaat kepada pengguna termasuk perantau yang pulang ke kampung kerana jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang hanya tiga jam.

"Tentunya saya berharap agar LTU berjalan lancar. Pengguna juga merasakan berapa pantasnya perjalanan, jika sebelum ini memakan masa yang panjang, tetapi selepas siap, perjalanan semakin singkat.

"Yang penting kita ingin mengelakkan kesesakan ketika hari perayaan dan hujung minggu yang panjang untuk memudahkan anak-anak Kelantan pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:14 PM