LOKASI kanak-kanak perempuan berusia empat  tahun dipercayai jatuh, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
LOKASI kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai jatuh, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis akan merakam keterangan ibu bapa kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang maut terjatuh dari tingkat 16, sebuah pangsapuri di Presint 9, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mereka akan dipanggil dalam masa terdekat kerana keluarga masih dalam keadaan sedih selepas kejadian itu.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

"Kita akan siasat dan buka satu kertas siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut disyaki terjatuh dari tingkap bilik utama rumah berkenaan di tingkat 16 di sebuah pangsapuri.

Ketika kejadian mangsa yang juga anak bongsu daripada dua beradik dipercayai ditinggalkan bersendirian ekoran bapa mangsa menghantar anak sulungnya ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:12 PM