BEKAS pengawal keselamatan berjaya mengenepikan hukuman gantung sampai mati dalam semakan dibuat di Mahkamah Persekutuan diganti dengan penjara selama 40 tahun. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BEKAS pengawal keselamatan berjaya mengenepikan hukuman gantung sampai mati dalam semakan dibuat di Mahkamah Persekutuan diganti dengan penjara selama 40 tahun. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Bekas pengawal keselamatan yang dihukum gantung atas kesalahan membunuh remaja perempuan pada 2011 berjaya dalam semakan yang dibuat di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan hukuman itu.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah di sini, hari ini.

Hukuman ke atas D Kalaiselvan, 59, kemudian digantikan dengan hukuman penjara selama 40 tahun kuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu 3 Julai 2011.

Terdahulu, dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi memohon mahkamah mengekalkan hukuman gantung sampai mati kerana mangsa diperlakukan dengan ganas dalam kes berkenaan.

"Mangsa hanya berusia 16 tahun dan tiada sebab untuk dibunuh. Mangsa bukan hanya dipukul tetapi turut ditikam di leher dan dibakar dengan tulangnya turut dipotong," hujahnya.

Pada 26 Disember 2012, Kalaiselvan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah membunuh anak kawannya, Nur Rahayu Qomarudin berusia 16 tahun ketika kejadian di Ladang Kelapa Sawit Sungai Masai dekat sini, antara jam 2.30 pagi dan 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.

Lelaki itu kemudian membakar mayat remaja perempuan berkenaan.

Kalaiselvan yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu dengan seorang lagi yang masih bebas, mengemukakan rayuan bagi hukuman itu kepada Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya pada 18 Mac 2014.

Pada 25 Ogos 2015, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kemudian mengekalkan hukuman mati terhadapnya yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kalaiselvan yang diwakili peguam Datin Kharen Jit Kaur secara probono difahamkan hanya akan menjalani baki hukuman penjara kira-kira lapan tahun enam bulan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Kharen Jit memberitahu beliau berhujah supaya mahkamah mengguna pakai afidavit bahawa seorang lagi suspek masih bebas dan keterangannya tidak diambil.

"Pendakwaan terhadap anak guam saya dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu niat bersama, tetapi keterangan seorang lagi tidak diambil dan masih bebas.

"Mahkamah ambil kira perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:54 PM