TUAN Ibrahim (PN-Kubang Kerian), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran)dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenakan lilitan riben putih di Dewan Rakyat semalam.
TUAN Ibrahim (PN-Kubang Kerian), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran)dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenakan lilitan riben putih di Dewan Rakyat semalam.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenakan lilitan riben putih di lengan kiri tidak melanggar peraturan, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor.

Menurutnya, keputusan itu juga atas pertimbangannya dan tidak membabitkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Ini pendirian saya, bukan pendirian Speaker. Selagi pakaian itu tidak melanggar syarat yang ditetapkan oleh peraturan dewan, dipersilakan. Itu keputusan saya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, ketika Sesi Pertanyaan Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangkit mencelah, bertanyakan mengenai lilitan riben putih di lengan kiri Ahli Parlimen PN kepada Ramli.

Bung berkata, pihaknya mempunyai kemusykilan mengenai pemakaian lilitan riben putih itu sama ada menyalahi peraturan atau tidak.

"Saya ada kemusykilan sedikit. Saya nampak kumpulan sebelah sana, menggunakan 'gelang' putih besar, kecil, ada yang panjang. Ada musibah ke?" soalnya.

Semalam, Ahli Parlimen PN mula mengenakan lilitan riben putih di lengan kiri masing-masing sebagai tanda protes terhadap keputusan Johari yang tidak mengosongkan enam kerusi bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 12:47 PM