GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Jertih: Jabatan Perikanan mengesan lima kes aktiviti meracun, mengebom dan menggunakan arus elektrik untuk ikan di seluruh negeri tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Rozaidi Mamat berkata, kaedah penangkapan ikan air tawar menggunakan cara itu boleh menyebabkan kepupusan pelbagai jenis spesies ikan dan hidupan akuatik lain.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dilakukan berikutan mereka yang tidak bertanggungjawab itu dapat menghidu kehadiran pegawai penguat kuasa.

"Kita melarang sekeras-kerasnya aktiviti meracun, mengebom dan menangkap ikan menggunakan arus elektrik.

"Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988," katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ruzaidi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan Terengganu Dr Azman Ibrahim menyampaikan bantuan peralatan nelayan darat di Sungai Besut, Empangan Jajar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata, individu yang didapati bersalah kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah itu boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM500.

"Individu itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dr Azman ketika mengulas tindakan dilakukan individu berkenaan berkata, kerajaan negeri terkilan kerana aktiviti seperti itu masih berlaku.

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk mempertingkat dan memperkayakan sumber perikanan di negeri itu.

"Tujuan kerajaan mengadakan program pelepasan pelbagai spesies ikan air tawar adalah bagi meningkatkan sumber pendapatan nelayan darat.

"Usaha dilakukan kerajaan termasuk membelanjakan kira-kira RM85,000 setahun sejak 2021 tidak bermakna jika ada individu melakukan penangkapan ikan mengguna kaedah yang salah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 11:51 AM