Gunung Kinabalu kelihatan seolah-oleh memakai serban petang tadi. - FOTO JOHARY INDAN
Gunung Kinabalu kelihatan seolah-oleh memakai serban petang tadi. - FOTO JOHARY INDAN
Johary Indan


Tamparuli: Gunung Kinabalu seolah-olah memakai serban putih muncul lagi petang ini, menarik perhatian orang ramai yang mengambil kesempatan untuk merakam gambar kenangan.

Berdasarkan gambar yang dirakam seorang pendaki Bukit Perahu, Tamparuli, bahagian puncak gunung tertinggi di rantau ini diselubungi awan putih menjadi Gunung Kinabalu kelihatan seperti memakai serban.

Fenomena itu sering kelihatan berlaku terutama selepas musim hujan atau menjelang waktu senja.

Tinjauan mendapati kejadian yang indah itu turut kelihatan dari arah jalan utama Kota Kinabalu - Tamparuli sejak jam 3.30 petang tadi.

Pendaki Bukit Perahu, Arthur Edward, 41, mengakui kerap menyaksikan fenomena itu ketika berada di puncak bukit berkenaan.

"Kejadian alam itu sungguh luar biasa dan menakjubkan, sungguh indah dipandang mata.

"Ia hanya berlaku sekali sekala terutama ketika lepas berlaku hujan," katanya.

Bagaimanapun, 'serban' itu hanya boleh berlaku beberapa minit dan hilang selepas awan putih itu ditiup angin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 9:48 PM