ANGGOTA penyelamat memeriksa jenazah Saifullah  selepas kereta dipandu hilang kawalan.
ANGGOTA penyelamat memeriksa jenazah Saifullah selepas kereta dipandu hilang kawalan.
Oleh Hafizudin Mohd Safar

Arau: Seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sempat singgah di bilik asrama rakannya untuk menunaikan solat Maghrib sebelum maut apabila kereta dipandunya terjunam ke dalam longkang besar di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, Mohd Saifullah Abdullah, 26, yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) memandu Proton Iswara bersendirian dipercayai dalam perjalanan ke arah Kangar untuk menghadiri mesyuarat khas dengan rakannya.

Rakan mangsa, Mohd Nizam Shah Kharuddin, 24, berkata, dia dan arwah memandu secara berkonvoi dari Pauh ke Kangar sebelum memotong kenderaan mangsa ketika melalui kawasan Arau.

Menurutnya, dia tidak mengesyaki apa-apa walaupun Saifullah tidak muncul di Kangar.

“Arwah sempat singgah di bilik asrama saya untuk menunaikan solat Maghrib. Walaupun dia sibuk dengan tugas di MPP dan kegiatan luar, arwah akan cuba solat di awal waktu.

“Sebelum bertolak ke Kangar dari Pauh, dia baru saja selesai melakukan pembentangan gerak kerja kerana dilantik menjadi Pengarah Program Fiesta Konvokesyen UniMAP (FesKon) tidak lama lagi.

“Arwah sempat menyatakan masih banyak kerja dan berharap semuanya terlaksana dengan baik. Saya tidak mengesyaki apa-apa, namun sebaik mengetahui arwah kemalangan barulah teringat status WhatsApp tertulis ‘Pergiku tak akan kembali’,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, semalam.

Mohd Nizam berkata, dia tergamam ketika menerima berita dan gambar menunjukkan kereta arwah terbabit dalam kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 9:12 AM