SEBAHAGIAN ahli keluarga kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mula berkumpul menuntut keadilan diluar Mahkamah Majistrit Petaling Jaya. FOTO NSTP
SEBAHAGIAN ahli keluarga kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mula berkumpul menuntut keadilan diluar Mahkamah Majistrit Petaling Jaya. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis perlu melengkapkan kertas siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sebelum tarikh akhir reman kedua ibu bapa kanak-kanak itu yang menjadi suspek kes itu tamat esok.

Kertas siasatan yang dilengkapkan itu kemudiannya perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bahagian pendakwaan untuk semakan sebelum arahan selanjutnya.

Peguam yang mewakili pasangan suami isteri, Fahmi Abd Moin berkata, sekiranya bahagian pendakwaan tidak berpuas hati dengan kertas siasatan berkenaan, kebiasaannya ia akan memulangkan kembali kepada pasukan penyiasat untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek atau orang yang disyaki (OYDS) hendaklah dilepaskan dengan jaminan polis.

"Sekiranya pihak pendakwaan mendapati ada bukti kukuh untuk menuduh mana-mana suspek, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.

"Pertuduhan boleh dilakukan pada hari sama reman OYDS tamat atau keesokannya bergantung kepada arahan AGC," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sehingga kini beliau masih belum dapat bertemu anak guamnya dan tidak menerima sebarang makluman daripada pegawai penyiasat.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu dengan anak guamnya itu adalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya ketika permohonan sambung reman ke atas mereka pada Jumaat lalu.

"Kita ada memohon untuk bertemu anak guam tetapi tiada maklum balas daripada pegawai penyiasat mungkin mereka mahu ruang melakukan siasatan, jadi kita faham," katanya.

Fahmi berkata, keadaan keluarga kedua-dua anak guamnya itu tidak dinafikan dalam tekanan namun mereka menyerahkan kepada siasatan polis.

"Tipu kalau kita kata tidak tertekan, mana ada keluarga yang tidak tertekan jika anak dan menantu mereka ditahan. Mereka sentiasa menanti siasatan yang dilakukan polis," katanya.

Justeru itu, Fahmi mengingatkan kepada masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini dan menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan.

"Ini kerana, pihak polis sedang berusaha keras untuk menjalankan siasatan dalam mendapatkan keadilan terhadap kematian Zayn Rayyan.

"Masyarakat perlu beri ruang kepada polis menjalankan siasatan berlandaskan proses undang-undang," katanya.

Semalam, ibu Zayn Rayyan yang kini berada dalam tahanan reman polis dibawa ke Apartment Idaman, Damansara Damai bagi proses 'reconstruct' atau lakonan semula di lokasi kejadian.

Wanita berkenaan dibawa ke kediaman keluarga mereka sebelum ke lokasi tempat mayat kanak-kanak malang itu ditemukan.

Pada 7 Jun lalu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 28 tahun telah disambung reman enam hari lagi dan akan tamat esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, terdapat percanggahan keterangan daripada ibu, bapa dan saksi antara sebab siasatan lanjut dilakukan polis.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha dalam lengkapkan kertas siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 12:49 PM