Pasukan Arborist, menggunakan alat Piscus Sonic Tomograp dan Resistograph  untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pereputan dalam batang pokok  di Jalan Macalister, Georgetown hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Pasukan Arborist, menggunakan alat Piscus Sonic Tomograp dan Resistograph  untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti tahap pereputan dalam batang pokok  di Jalan Macalister, Georgetown hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sehingga kini sudah melaksanakan penilaian risiko terhadap 561 daripada 1,195 pokok di sekitar bahagian pulau negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri H'ng Mooi Lye berkata, penilaian itu dijangka siap sepenuhnya penghujung Jun depan.

Katanya, MBPP juga melantik kontraktor yang juga pakar dalam kerja penilaian risiko dan penyelenggaraan di lima laluan iaitu Jalan Macalister, Jalan Utama, Jalan Burmah, Jalan Kelawai dan Jalan Perak.

"Berdasarkan semakan awal, sebanyak 131 pokok dikategorikan sebagai tidak sihat dan perlu dilaksanakan risiko pokok tahap ketiga.

"Dalam kawasan pentadbiran MBPP, terdapat sebanyak 314 pokok besar berusia lebih 90 tahun masih berdiri megah dan pemeriksaan struktur dalaman batang pokok perlu dilakukan supaya keselamatan awam terjamin," katanya kepada media di Jalan Macalister di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mooi Lye berkata, susulan kejadian pokok tumbang dan dahan patah yang berlaku ketika hujan lebat baru-baru ini, pihaknya sudah mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi mengemukakan laporan siasatan serta pemantauan terhadap pokok besar, berusia dan berbahaya.

Katanya, dianggarkan sebanyak 40,000 pokok di bawah pentadbiran MBPP dan sistem Penang Tree Inventory System (PeTIS) diwujudkan bagi menyimpan data inventori seperti jenis pokok, lokasi, saiz, status kesihatan dan keperluan penyelenggaraan.

"Menerusi sistem itu ia dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan pokok dengan mengenalpasti koordinat dan spesis yang berpotensi besar untuk patah atau tumbang sekali gus mengambil tindakan bersasar dengan segera.

"Setakat ini sebanyak 15,848 pokok di tepi jalan serta tanah lapang yang mempunyai ukur lilit 0.8 meter dan ke atas sudah di inventori selain menjalankan kerja penyelenggaraan pokok secara berkala mengikut teknik amalan arborikultur," katanya lagi.

Manakala di bawah pentadbiran MBSP, Mooi Lye berkata terdapat 115,706 pokok teduhan dengan 96,586 daripadanya sudah dijalankan pemeriksaan dan penandaan di tapak.

"Bagi tahun ini, lapan daripada 23 pokok yang dikenalpasti berisiko sudah ditebang manakala baki 15 lagi akan diambil tindakan dalam masa terdekat menerusi pelantikan kontraktor luar dan secara dalaman," katanya lagi.

Terdahulu, Mooi Lye ditemui ketika demonstrasi penggunaan peralatan khas bagi mengenalpasti tahap pereputan dalam batang pokok iaitu 'Piscus Sonic Tomograph' dan 'Resistograph' yang dilakukan pakar tumbuhan berkayu atau arboris.

Hadir sama ialah Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran dan arboris bertauliah dari Abormaster Resources, Ridzuan Yahaya.

Sementara itu Rajendran berkata, tindakan terhadap pokok di semua jalan utama di bawah pentadbiran MBPP dijangka siap dilakukan menjelang tahun depan bagi memastikan tahapnya sama ada berisiko, boleh diselamatkan atau ditebang.

"Kali terakhir pemeriksaan terhadap pokok berkenaan dijalankan ialah pada 2014 namun ia membabitkan jalan tertentu sahaja dan kali ini kita mahu buat semua (babitkan semua jalan utama)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 1:59 PM