Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Laluan lurus Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling dianggap berbahaya oleh penduduk berhampiran yang sering menggunakannya setiap hari.

Penduduk Pantai Cicar mendakwa keadaan jalan yang tidak mempunyai lampu jalan serta tembok di bahagian tepi jambatan menyebabkan kemalangan kerap berlaku.

Peniaga kedai makan, Nazri Md Noor, 42, berkata, kemalangan yang menyebabkan tiga beranak maut dua hari lalu, masih menghantui penduduk di kawasan itu.

Dia yang berniaga kedai makan pada jarak kira-kira 100 meter dari jambatan itu mengakui, sudah tiga kali ternampak kenderaan terbabas ke dalam sungai termasuk sebuah bas pekerja dua tahun lalu.

"Bahagian tepi jambatan itu tiada penghadang dan jika ada kenderaan terbabas, pemandu akan terus terjunam ke dalam sungai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Khairul Ahmad Shukri, 25, berkata penduduk di kawasan itu berharap ada tembok penghadang dipasang di tepi sungai berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, laluan itu gelap pada waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan di kawasan jambatan.

"Ini laluan utama penduduk Pulau Cicar kalau hendak ke Sungai Petani atau Baling, banyak kenderaan lalu kawasan ini.

"Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan penambahbaikan di kawasan ini bagi mengelak kejadian sama berulang seperti yang berlaku dua hari lalu," katanya.

Khairul berkata, biasanya kemalangan yang berlaku di kawasan jambatan itu adalah membabitkan kereta atau kenderaan berat yang terbabas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan berlaku.

Katanya, laluan Jalan Sungai Petani-Baling itu bukan laluan utama sebaliknya hanya jalan kampung untuk penduduk keluar ke Sungai Petani atau Baling.

"Memang ada kemalangan berlaku di kawasan itu, tetapi tidak membabitkan kematian. Cuma kemalangan dua hari lalu membabitkan kematian," katanya.

Sabtu lalu, tiga beranak ditemukan lemas selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 4:33 PM