S Sasikala Devi
S Sasikala Devi
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis Selangor menggerakkan 642 pegawai kanan dan anggota bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, pegawai dan anggota berkenaan antaranya akan ditugaskan di pusat mengundi, menjaga saluran, pusat penjumlahan undi dan kawalan keselamatan.

"Bagi memastikan kelancaran penugasan pada PRK ini, Polis Selangor bersiap siaga dengan 642 orang yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis bertugas di beberapa lokasi.

"Seramai 625 pegawai dan anggota kita akan mengundi awal pada 7 Mei ini manakala 238 orang lagi membabitkan pegawai dan anggota tentera.

"Pihak polis memberi jaminan kadar keselamatan pada hari mengundi di tahap yang terbaik dan orang ramai diminta untuk keluar mengundi tanpa sebarang keraguan berkaitan keselamatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor akan berjumpa dengan wakil parti yang dijangka bertanding untuk memaklumkan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang kempen PRK.

Katanya, taklimat akan diberikan mengenai proses dan prosedur yang perlu dilaksanakan agar semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan termasuk memohon permit kempen dan tidak menyentuh isu sensitif termasuk 3R (Raja, Agama, Kaum).

PRK DUN Kuala Kubu Bharu dalam Parlimen Hulu Selangor diadakan selepas penyandangnya Lee Kee Hiong yang mewakili PH daripada DAP meninggal dunia pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya diadakan pada 11 Mei manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:04 PM