PERSIDANGAN DUN Sabah bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati perwira dan pertiwi negara yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM di Pangkalan Lumut, Perak sebelum memulakan persidangan Penggal Kelima DUN Sabah Ke-16 pagi ini. FOTO Mohd Adam Arinin
PERSIDANGAN DUN Sabah bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati perwira dan pertiwi negara yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM di Pangkalan Lumut, Perak sebelum memulakan persidangan Penggal Kelima DUN Sabah Ke-16 pagi ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pagi ini bertafakur seketika sebelum memulakan sesi soal jawab bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, semalam.

Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al-Hambra Tun Juhar turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak DUN Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah kepada waris mangsa dan TLDM atas kehilangan nyawa anggota akibat tragedi berkenaan.

"Sebelum kita memulakan sesi soal jawab lisan pada hari ini, DUN Sabah ingin mengucapkan takziah kepada perwira-perwira negara yang terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, semalam.

"Sekalung takziah diucapkan kepada keluarga mangsa daripada Adun Sabah dan kerajaan Sabah. Kepada yang beragama Islam marilah kita hadiahkan al-Fatihah dan yang bukan beragama Islam marilah kita bertafakur selama seminit mengikut kepercayaan masing-masing," katanya.

TLDM semalam mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian 9.32 pagi yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander (Lt Kdr) Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran (PW) II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda (BM) TNL Noor Rahiza Anuar (penumpang) dan Laskar Kanan (LK) I JJM Joanna Felicia Rohna.

Mangsa terkorban dari pesawat Fennec pula dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Muhammad Firdaus adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503 berpangkalan di TLDM Kota Kinabalu yang turut bertindak sebagai juruterbang sebuah daripada helikopter pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:49 PM