KOMUNITI Hab yang baru dilancarkan di Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda. FOTO Saifulizan Tamadi
KOMUNITI Hab yang baru dilancarkan di Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda. FOTO Saifulizan Tamadi
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Urbanice Malaysia menyasarkan membina 100 Ruang Komuniti (RK) di Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim berkata, pembangunan RK sebagai tempat penduduk PPR menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat.

"Kita ada buat konsep lebih kecil iaitu ubah suai kawasan di bawah PPR daripada tempat parkir motosikal saja kepada lebih cantik dan selesa sebagai RK untuk penduduk manfaatkan jalankan pelbagai aktiviti.

"Fungsinya lebih fleksibel kita mahu penduduk menggunakan ruang yang ada menjalankan aktiviti bersama contohnya banyak penduduk sekarang kita tengok jadikan RK tempat jamuan hari jadi dan raya, mengaji serta aktiviti penduduk.

"Bulan ini saja akan siap 20 RK dan insya-Allah kalau tiada kekangan kewangan dan cabaran lain, kita sasarkan buat lagi 100 RK menjelang hujung tahun ini," katanya selepas Majlis Perasmian Komuniti Hab dan Sambutan Aidilfitri di PPR Batu Muda, di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib bagi mewakili Menteri KPKT, Nga Kor Ming.

Norliza berkata, pihaknya turut dalam perancangan membina sebuah lagi Komuniti Hab di Lembah Klang, tahun ini yang dijalankan dengan kerjasama strategik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penaja utama, Yayasan Hasanah.

Sementara itu, M Noor Azman berkata, projek Komuniti Hab bertujuan sebagai ruang masyarakat yang tinggal di kejiranan sama menjalankan aktiviti yang memupuk budaya hidup sihat dan mengurangkan tekanan hidup di bandar yang semakin mencabar.

"Sejak 2018, program ini yang dijalankan KPKT melalui inisiatif dikendalikan Urbanice Malaysia membangunkan lima Komuniti Hab di Kepong, Kuala Lumpur; Ampang, Selangor; Durian Tunggal, Melaka; Buntong Ipoh, Perak dan terbaru di Batu Muda, Sentul.

"Pembangunan Komuniti Hab ini memanfaatkan 20,000 penduduk menerusi program kesejahteraan dijalankan seperti Kebun Dapur Komuniti yang membawa konsep memindahkan hasil tanaman kepada menu masakan yang boleh menjana pendapatan penduduk.

"Penggunaan kontena juga dimanfaatkan dengan kemudahan seperti perpustakaan mini, ruang pembelajaran dan serba guna lain yang disesuaikan mengikut keperluan komuniti itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 4:25 PM