Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi menunjukkan tempat kejadian seorang warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu. FOTO BERNAMA
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi menunjukkan tempat kejadian seorang warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh:Hanya Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling ditutup sementara susulan seorang lelaki tempatan maut akibat ditimpa batu di pusat pelancongan itu baru-baru ini, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata setakat ini tiada lokasi tumpuan pelancong lain khususnya di kawasan kaki bukit yang ditutup dan masih beroperasi seperti biasa.

"Memang Qing Xin Ling sahaja yang ditutup sementara operasinya setakat ini, kita ikut arahan semasa yang dikeluarkan kerajaan negeri jadi yang lain-lain masih beroperasi seperti biasa hingga pekeliling dikeluarkan.

"Kita dukung apa yang disarankan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkaitan isu ini dan juga pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Sumbangan Duit Raya Anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) B40 dan Anak Yatim dekat sini.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata proses naik taraf lokasi perniagaan popular Gerbang Malam bagi pembinaan struktur fasa kedua akan bermula Jun ini.

"Setakat ini proses sebut harga telah ditutup dan kita akan melantik kontraktor untuk mulakan kerja-kerja naik taraf yang dijangka pada Jun.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM500,000 dan RM250,000 lagi diperuntukkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk fasa kedua ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:14 PM