Ruwaida Md Zain


Klang: Polis mengesahkan satu kejadian ragut sehingga menyebabkan seorang wanita jatuh di atas jalan raya di Persiaran Raja Muda Musa di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Zarina di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang warga tempatan berusia 20 tahun pada 4.34 petang hari sama.

"Siasatan mendapati, dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Semasa melalui lokasi kejadian, tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah motosikal datang dari arah belakang mendekati mangsa dan menarik beg yang disilang di badan mangsa.

"Akibat situasi itu, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan raya serta mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata, siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka di kedua-dua belah tapak tangani, kedua-dua belah lutut dan bahu kiri.

Kejadian tular mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja diragut sehingga terjatuh. FOTO IHSAN PEMBACA
Kejadian tular mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja diragut sehingga terjatuh. FOTO IHSAN PEMBACA

"Mangsa sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Siasatan lanjut mendapati, beg silang mangsa yang diragut oleh suspek mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi serta wang tunai sebanyak RM114.

"Motosikal mangsa mengalami turut tercalar di bahagian coverset dan kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki dewasa menunggang motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 warna gelap.

"Polis kini dalam usaha mengenalpasti suspek dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, polis juga sedang mendapati beberapa video berkaitan perbuatan suspek tular di media sosial.

"Polis menasihatkan orang awam agar tidak menularkan video terbabit bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 9:56 AM