GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap lelaki yang disyaki melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu, termasuk cara senjata itu diperoleh.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata, siasatan masih di peringkat awal.

"Kita (polis) sedang mengumpulkan maklumat daripada suspek termasuk bagaimana dia mendapatkan pistol jenis Glock 19 Austria bersama peluru.

"Siasatan terhadap suspek baru bermula, jadi masih terlalu awal untuk kita membuat rumusan memandangkan keterangan suspek boleh berubah," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Selain itu, Hussien berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada 15 individu termasuk isteri dan pengawal peribadi yang tidak cedera bagi membantu siasatan.

Katanya, polis juga menahan seorang lelaki pada 15 April lalu sebelum dibebaskan keesokannya, bagi membantu menjejak keberadaan suspek.

Terdahulu, suspek utama berjaya ditahan polis di Jalan Bayam, Kota Bharu di Kelantan selepas 36 jam melarikan diri sejurus kejadian itu.

Lelaki berusia 38 tahun itu disyaki mahu melarikan diri ke Makkah melalui Thailand berdasarkan rampasan yang dibuat polis membabitkan sejumlah wang tunai dalam mata wang asing Riyal dan Baht ketika menahannya.

Polis turut merampas pistol jenis Glock 19 Austria bersama peluru hidup, mercun bola, enam telefon bimbit, pasport serta empat keping kad pengenalan milik orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 4:26 PM