Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEMUA pihak diminta tidak memperbesarkan isu anjing liar yang mati dipercayai akibat diracun di Taman Lavender Height di Seremban, Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, kejadian tidak bersabit dengan pihak pengurusan Masjid Ibnu Khaldun di taman perumahan itu seperti yang tular di Facebook, kelmarin.

Katanya, dakwaan mengatakan pengurusan masjid berkenaan yang meracun haiwan liar itu adalah tidak benar kerana ia dilakukan individu lain yang menetap di perumahan berkenaan.

"Kerajaan negeri memandang serius masalah ini dan ia akan mencari jalan penyelesaian dalam tempoh seminggu ini. Cuma kita harap isu ini tidak diperbesarkan hingga menyentuh sensitiviti agama dan kaum," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Negeri, hari ini.

Beliau sebelum itu diberi penerangan oleh Pengerusi Masjid Masjid Ibnu Khaldun, Mohd Asna Amin berhubung isu itu yang turut dihadiri Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mizzuan Jafilus dan Setiausaha masjid, Zulkfli Ab Aziz.

Mohamad Taufek mengakui kewujudan anjing liar di kawasan DUN Paroi termasuk Taman Lavender Heights dan Taman Marida.

"Kita serahkan kepada polis melengkapkan siasatan kes ini apabila wujud juga bantahan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan," katanya.

Sementara itu Mohd Asna menegaskan dia tidak meracun anjing itu sebaliknya dipercayai dilakukan penduduk taman yang hilang sabar dengan kesan yang timbul akibat banyak anjing liar di situ.

Beliau juga menafikan pengurusan masjid mempunyai kaitan dengan foto yang tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook mendakwa mengandungi racun tikus untuk diberi kepada anjing liar.

"Ia foto lama yang diambil di tempat lain tetapi menuduh kami membunuh anjing. Akibatnya saya menerima banyak kecaman," katanya.

Menurutnya, kehadiran anjing liar di taman perumahan itu menjadi masalah sejak awal tahun lalu apabila haiwan itu sering masuk dan membuang najis dan meminum air kolah di tempat berwuduk masjid.

"Ada beberapa kejadian kanak-kanak yang datang bersolat dikejar anjing liar hingga terjatuh dan cedera. Berpuluh aduan dibuat kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) namun mereka memaklumkan tiada peruntukan untuk mengambil tindakan.

"Kami menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun mereka meminta kami berurusan dengan MPS sekali gus menyebabkan tiada tindakan diambil," katanya.

Semalam, media melaporkan penduduk di Taman Lavender Height di Seremban, digemparkan dengan penemuan bangkai tiga anjing liar dan seekor anjing peliharaan yang mati di dalam longkang dipercayai akibat diracun oleh individu tidak bertanggungjawab, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 9:36 PM