Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mahu memukul adik kandungnya dengan besi dan kaca sehingga menimbulkan ketakutan, 5 April lalu.

Haslimi Hasan, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Syafik Aizat Nazri.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan kepada adik perempuannya yang berusia 30 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tok Dokang Jalan Lorong Kubur Banggol, di sini, 3 petang, pada 5 April 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi mencadangkan satu jumlah jaminan sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

HASLIMI didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah mahu memukul adik kandungnya dengan besi dan kaca di sebuah rumah di Kampung Tok Dokang Jalan Lorong Kubur Banggol. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HASLIMI didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah mahu memukul adik kandungnya dengan besi dan kaca di sebuah rumah di Kampung Tok Dokang Jalan Lorong Kubur Banggol. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 1:35 PM