ANGGOTA tentera dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) menahan suspek dan s ebuah pacuan empat roda (Toyota Hilux) yang cuba diseludup menggunakan jalan tikus ke Indonesia. FOTO Ihsan ATM
ANGGOTA tentera dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) menahan suspek dan s ebuah pacuan empat roda (Toyota Hilux) yang cuba diseludup menggunakan jalan tikus ke Indonesia. FOTO Ihsan ATM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PACUAN empat roda menempuh perjalanan lebih 400 kilometer dari Bintulu ke daerah ini untuk diseludup ke negara jiran, semalam.

Bagaimanapun, cubaan dua lelaki menggunakan lorong tikus menyeludup Toyota Hilux gagal selepas kehadiran mereka dihidu anggota keselamatan di Kampung Ensawang, Lubok Antu.

Lelaki berusia 43 dan 44 tahun itu dikesan 1 tengah hari oleh Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13RAMD) yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan kampung itu.

Menurutnya, selepas berjaya menjejaki kenderaan itu, anggota tentera kemudiannya berjaya menahan kenderaan itu bersama dua suspek.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, dua lelaki terbabit dari Dusun Bawak dan Badau, Indonesia, gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan kenderaan berkenaan selain mereka juga tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Suspek juga memberikan butiran mencurigakan ketika ditanya tujuan kenderaan itu dipandu di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut dengan polis mendapati Toyota Hilux itu dilaporkan hilang di Bintulu sebelum ini.

Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lubok Antu untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, anggota ATM sentiasa menjalankan rondaan di kawasan sempadan bagi memastikan tiada cubaan untuk seludup dilakukan.

"Kami berharap penduduk terutamanya di kawasan sempadan agar memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 1:05 PM