ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Balau-Bandar Penawar. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Balau-Bandar Penawar. FOTO Ihsan Bomba.
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Wanita dan bayinya yang berusia tiga bulan maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori tangki di Jalan Tanjung Balau-Bandar Penawar dekat Taman Sri Penawar di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, dua beranak berkenaan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 1.38 tengah hari dan lapan anggota bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.

Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Penawar dan Sungai Rengit yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Azlan Mat Sani.

"Sebaik tiba, didapati penumpang hadapan iaitu seorang wanita (Najwa Nursyahira Kamaruzaman, 28) dan dan bayinya (Felkah Nurnadeera) tersepit dan dikeluarkan anggota dengan menggunakan peralatan khas.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, suami wanita itu, Muhammad Fahmy Ali, 30, dan dua lagi anak lelaki berusia lapan dan lima tahun cedera, sementara pemandu lori berusia 34 tahun tidak cedera.

Dalam pada itu, tinjauan di media sosial tular dengan ucapan takziah atas pemergian mangsa dikenali Najwa Nursyahirah Salim dan anaknya, Fella.

Difahamkan kemalangan berlaku berdekatan rumahnya, ketika mereka dalam perjalanan pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 9:05 AM