ALIF (tengah) nekad apabila tiada penyanyi sesuai bawa lagu ciptaannya berjudul Buat Selamanya.
ALIF (tengah) nekad apabila tiada penyanyi sesuai bawa lagu ciptaannya berjudul Buat Selamanya.
Ridzuan Abdul Rahman


Alif Sleeq sudah selesa dengan kariernya sebagai pencipta lagu dan banyak menghasilkan karya untuk rakan artis.

Bagaimanapun, ketiadaan penyanyi yang sesuai bagi menyanyikan lagu ciptaannya berjudul Buat Selamanya membuatkan dia nekad menyanyikan sendiri lagu ini.

Lagu Buat Selamanya mengisahkan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai suami untuk menjaga serta memberikan keselesaan kepada isteri untuk meneruskan perjalanan hidup yang lebih baik diedarkan Warner Music.

Ditemui pada pelancaran Buat Selamanya, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdullah, 28, berkata, lagu itu tidak ada kena-mengena dengan kisah peribadinya.

“Idea menghasilkan lagu dan lirik ini saya dapat secara spontan. Pada mulanya saya fikir mahu beri lagu ini kepada orang lain.

“Memang saya pernah mengeluarkan single berjudul Mama, namun selepas itu lebih fokus sebagai komposer kerana itu jiwa saya.

“Bagaimanapun, dengan apa yang berlaku, saya sudah bersedia untuk kembali aktif menyanyi,” katanya.

Sentuhan Alif sememangnya menjadi kerana lagu ciptaannya sering mendapat tempat di hati pendengar.

Karyanya mempunyai rentak dan melodi tersendiri. Bahkan dia mempunyai produksi muziknya sendiri yang diberi nama ‘Magic Potions’.

Syarikatnya turut bekerjasama dengan Vadbibes bagi menghasilkan video muzik Buat Selamanya yang diarahkan oleh Jasper.

Lagu yang dihasilkan Alif adalah Dia nyanyian Sleeq dan Najwa Latif, Salam Semua (Sleeq dan Aaron Aziz), Tepi Sikit (Sleeq dan Joe Flizzow), Bukan Hal Aku (Kaka Azraff dan Sleeq) serta Satu Hari Nanti (Najwa Latif).

Dalam pada itu, Alif juga pernah menghasilkan dua album online iaitu ‘6560 Part 1’ dan ‘6560 Part 2’.

Bakat besar Alif dalam penciptaan lagu turut menarik perhatian penyanyi Ziana Zain yang berminat menyanyikan lagunya.

“Kak Ziana berminat menyanyikan lagu saya dan sudah menyiapkan lagu sesuai untuknya.

“Bagi saya ini satu penghargaan yang besar kerana bukan mudah orang baru seperti saya berpeluang mencipta lagu untuk penyanyi popular,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 5:34 AM