Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertubuhan dalam masyarakat sivil (CSO) dan media di Malaysia bekerjasama memperkenalkan gerakan #MZB365 atau "Maaf Zahir Batin Hari-hari", bertujuan melawan ungkapan kebencian etnik-agama serta menggalakkan amalan memohon dan memberi maaf setiap hari.

Menurut kenyataan bersama CSO-Media, gerakan #MZB365 menekankan kepentingan amalan itu merentasi pelbagai kepercayaan dan latar belakang budaya, termasuk Islam, Budha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme dan komuniti orang asal di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengangkat amalan 'maaf zahir batin' ke tahap yang lebih tinggi.

"Mari kita lazimkan amalan memohon dan memberikan keampunan sepanjang tahun, tidak terhad pada perayaan Aidilfitri dan bulan Syawal, tetapi dari awal Muharam sehingga akhir Zulhijjah, dari 1 Januari hingga 31 Disember, sepanjang 365 hari setahun," menurut kenyataan itu hari ini.

Berdasarkan kejayaan gerakan #KitaJagaKita semasa pandemik Covid-19 melanda negara beberapa tahun lepas, kenyataan itu menggesa rakyat Malaysia menjayakan #MZB365 untuk melawan kebencian.

"Memberi maaf kepada mereka yang ikhlas memohon maaf sebenarnya memperkuat kita dan masyarakat secara keseluruhan. Ia membina pendamaian, mengurangkan salah faham, menghapuskan benci dendam dan mengeratkan silaturahim sesama manusia," menurut kenyataan itu.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian dalam kempen gerakan itu ialah Projek SAMA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 11:54 AM