ABD Manan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku mencabul penumpang bas. FOTO Alias Abd Rani
ABD Manan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku mencabul penumpang bas. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Batu Pahat: Seorang warga emas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan penumpang bas ekspres di Terminal Bas Batu Pahat di sini, Sabtu lalu.

Abd Manan Mohd Yatim, 68, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, pemandu teksi itu didakwa dengan niat mencabul kehormatan penumpang bas berusia 27 tahun pada jam 3.30 petang, 25 November lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa menaiki bas ekspres dari Batu Pahat untuk ke Johor Bahru.

Tertuduh yang ketika itu sedang menunggu penumpang, bertindak memasuki dalam bas dan duduk di sebelah mangsa sebelum berpura-pura berbual dengannya.

Mangsa pada mulanya tidak bersangka buruk terhadap tertuduh namun warga emas itu mengambil kesempatan mencabulnya sebelum turun dari bas terbabit.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan suspek kemudian ditahan pada hari sama kejadian sebelum direman.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili Kamarul Arifin Nordin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Selepas meneliti hujahan dan rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap, 25 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:41 PM