Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada pegawainya ketika menghadiri Majlis Iftar Ramadan Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 Kontijen Kelantan Tahun 2024 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada pegawainya ketika menghadiri Majlis Iftar Ramadan Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 Kontijen Kelantan Tahun 2024 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan sudah menerima laporan mengenai seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang didakwa melakukan aktiviti pedofilia terhadap murid lelaki.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan itu dibuat oleh pelajar berkenaan dan dalam masa sama pihaknya juga akan mendapatkan keterangan daripada saksi.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat siasatan segera secara telus, adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Semua saksi termasuk guru, murid dan sesiapa yang pernah dihubungi guru berkenaan diminta tampil untuk membantu siasatan yang mengambil kira dalam semua aspek termasuk kandungan WhatsApp yang dihantar.

"Siasatan dilakukan secara terperinci dan jika perlu ia akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Iftar Ramadan Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 Kontijen Kelantan Tahun 2024 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, saksi diminta tampil memberi keterangan dan jika mahu dirahsiakan boleh menghubungi polis secara terus untuk membantu siasatan.

"Pada masa sama, siasatan dalamam yang dilakukan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut membantu dan mungkin juga pihak kami akan mendapatkan pandangan daripada mereka berhubung perkara ini.

"Justeru kami meminta kepada masyarakat di luar sana supaya jangan membuat spekulasi yang bukan-bukan kerana perkara ini masih lagi dalam siasatan," katanya.

Media semalam melaporkan, MARA sudah mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan seorang guru didakwa melakukan pedofilia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 9:47 PM