Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. FOTO FAIZ ANUAR
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan jumlah pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang rendah dalam kalangan bukan Melayu bukannya disebabkan berlakunya defisit kepercayaan kepada kerajaan.

Sebaliknya Rafizi berkata, pendaftaran rendah dalam kalangan bukan Melayu itu disebabkan mereka tidak biasa mendapat bantuan daripada kerajaan secara bulanan.

"Sebab itu (data) mereka tidak banyak yang berada dalam sistem kerajaan.

"Ramai daripada mereka berasakan berada dalam golongan M40 ke atas. Maka mereka tidak layak (menerima) apa-apa bantuan. Itu sebabnya. Bukan sebab defisit kepercayaan," katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai adakah berlaku defisit kepercayaan dalam kalangan bukan Melayu menyebabkan kurangnya pendaftaran dan pengemaskinian mereka dalam sistem PADU.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, disebabkan itu, pihaknya juga cuba meyakinkan bukan Melayu kerana ada dalam kalangan mereka berisiko mengalami keciciran.

"Sebenarnya bukan semuanya kaya. Ada yang layak mendapat bantuan.

"Bahayanya jika mereka tidak mendaftar dalam PADU oleh kerana mereka memang tidak pernah mendapat bantuan sebelum ini. Baik dalam Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-Kasih. Maka kalau mereka tidak mendaftar, mereka akan tercicir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 2:16 PM