Rafizi Ramli bercakap ketika sidang media Pangkalan Data Utama (PADU) di Menara Prisma, Putrajaya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Rafizi Ramli bercakap ketika sidang media Pangkalan Data Utama (PADU) di Menara Prisma, Putrajaya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Oleh Amir Abd Hamid


Putrajaya: Sebanyak 4,752 lokaliti di Malaysia belum diliputi sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) dan berisiko keciciran semua bantuan kerajaan termasuk subsidi bersasar yang akan dilaksanakan kelak.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Selangor negeri tertinggi mempunyai lokaliti belum diliputi sistem PADU membabitkan 1,282 lokaliti dan diikuti Kuala Lumpur, 992 lokaliti.

"Sebanyak 5.43 juta individu telah mengemaskini data PADU sehingga 11.59 malam, 17 Mac 2024.

"Bagaimanapun sebanyak 4,752 kawasan telah dikenal pasti di seluruh Malaysia, di mana penduduk kawasan tersebut tidak mempunyai sebarang pendaftaran di bawah PADU mahupun apa-apa program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.

"Tumpuan kementerian dan juga pasukan PADU dalam tempoh dua minggu ini, sehingga hari terakhir 31 Mac 2024 adalah untuk mempertingkatkan pendaftaran individu dan isi rumah, terutamanya meliputi kawasan yang dikenal pasti berisiko terbesar pengecualian.

"Di Lembah Klang, paling tinggi risiko keciciran adalah penghuni flat atau pangsapuri. Nama mereka tercicir juga dalam sistem bantuan kerajaan yang lain seperti Sumbangan Tunai Rahmah," katanya dalam sidang media mengenai PADU, di sini, hari ini.

Menurutnya, bilangan kawasan lain belum diliputi PADU selain Selangor dan Kuala Lumpur membabitkan 765 lokaliti di Sarawak, Sabah (620), Johor (271), Pulau Pinang (243), Kelantan (228), Kedah (157), Pahang (70), Perak (67), Terengganu (35), Negeri Sembilan (8), Perlis (7), Putrajaya (5) dan Melaka (2).

Rafizi berkata, kawasan paling banyak keciciran adalah kawasan bukan Melayu.

"Satu sesi Townhall akan diadakan pada 23 Mac 2024 di Pusat Konvensyen MBSA untuk memberi penerangan mengenai manfaat sistem PADU serta mendapatkan kerjasama pihak berkaitan untuk membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan rakyat terutamanya di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 31 Mac 2024," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, kaunter pendaftaran akan dibuka sepanjang sesi itu bagi membantu orang awam untuk mendaftar dan mengemaskini PADU.

Beliau turut meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah sama dengan mengumpulkan wakil penduduk dari kawasan berisiko tinggi keciciran untuk menggalakkan pendaftaran PADU penduduk kawasan berkenaan.

Katanya, mulai 31 Mac ini, data sedia ada dan sudah dikemaskini dalam PADU akan digunakan sebagai panduan merangka dasar serta digunakan bagi menentukan kelayakan individu untuk program kerajaan, bantuan dan subsidi.

"Jika anda tidak mendaftar dan mengemaskini data di dalam PADU, kerajaan akan menggunakan data yang didapati dari jabatan-jabatan kerajaan sedia ada yang berisiko tidak tepat atau tidak terkini.

"Daftar dan kemaskini data anda di PADU sebelum 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan. Anda mungkin tidak mendapat bantuan kerajaan sebelum ini, kini walau peluang itu telah dibuka, namun oleh kerana data anda tidak dikemaskini, anda mungkin terus tercicir," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 3:26 PM