Dr Zulkifli bermesra dengan anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai anjuran Gyro Gastro Sdn Bhd, petang semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Dr Zulkifli bermesra dengan anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai anjuran Gyro Gastro Sdn Bhd, petang semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Nilai: Peniaga bazar Ramadan dinasihatkan menjual makanan daripada hasil yang terbaik sekali gus menghindarkan penyediaan makanan sambil lewa.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jual beli tanpa keredaan daripada mana-mana pihak adalah jauh daripada konsep Islam sebenar.

Menurutnya, isu makanan tidak sedap adalah subjektif dengan mengambil kira perbezaan selera setiap individu, namun sepatutnya disediakan dengan penuh keikhlasan.

"Masalah (makanan) basi, tak masak dan buat lebih kurang ini patut dihindarkan. Ada satu hadis mengatakan Rasullah bersabda, Allah sangat suka kalau peniaga menjual dalam keadaan penuh tolenrasi dan kasih sayang.

"Apabila jual beli dibina atas dasar reda, tiba-tiba tiada keredaan, rasa tak puas hati. Ini (isu) tak mesra dan jauh daripada konsep sebenar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meraikan 80 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai, di sini, petang semalam.

Dengan memetik surah al-Mutaffifin ayat satu hingga lima, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, ayat itu mengajar supaya berbuat baik kepada orang lain.

"Ayat ini nak beritahu kepada kita bahawa mereka (orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan) dalam bab jual beli, mereka buat lebih kurang, barang timbangan tak cukup.

"Adakah mereka ini tak sangka mereka akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak (hidup semula sesudah mati)?" katanya.

Justeru, beliau berpesan kepada diri sendiri dan peniaga supaya menyediakan makanan yang terbaik.

"Kita tengok Rasulullah sebagai seorang peniaga yang berjaya, sahabat berjaya. Bagaimana dia interaksi dengan pelanggan dengan cukup baik.

"Mudah-mudahan kita juga boleh buat seperti itu. Pastikan makanan masak, elok, tak basi dan kalau boleh sedap, itu satu 'mileage' yang besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 10:51 AM